Home Nasional PKPD bersasar kaedah terbaik beri vaksin – Amirudin

PKPD bersasar kaedah terbaik beri vaksin – Amirudin

Petugas kesihatan mengiringi penghuni susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 JULAI 2021.

BANDAR BARU BANGI – Kerajaan Negeri Selangor tidak bercadang memperkenalkan kaedah baharu untuk melaksanakan vaksinasi secara berkelompok di kawasan perumahan berstrata khususnya apartmen dan pangsapuri.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, imunisasi berkelompok itu sukar dilaksanakan secara terburu-buru dan tidak mampu mengekang pergerakan orang ramai berbanding kaedah sedia ada.

“Kalau nak libatkan kawasan apartmen, kita tak boleh kawal orang keluar dan masuk.

“Kalau di sini (Pangsapuri Sri Ayu) kita boleh kawal keluar dan masuk sebab Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar.

“Saya rasa formula memberikan vaksin di kawasan PKPD ini berbaloi dan boleh dilaksanakan,” katanya pada sidang media di pekarangan Pangsapuri Sri Ayu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu. Kerajaam Negeri Selangor tiada kemampuan untuk mengawal pergerakan orang ramai jika cadangan itu mahu dilaksanakan.

“Cuma untuk kita serbu satu tempat, kemudian kepong minta orang vaksin, itu belum mampu sebab ada yang marah pula kerana kita tak berikan persiapan.

“Kalau kita beritahu, ada yang takut dan larikan diri,” jelasnya.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri Selangor juga enggan mengganggu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dirancang lebih awal penjadualan vaksinasi.

“Kalau kita serbu tak tentu arah, akhirnya ia akan huru-hara,” katanya.

Bagaimanapun katanya lagi, pihaknya sedia mempertimbangkan vaksinasi berkelompok itu jika mempunyai keperluan pada masa akan datang.

“Kita pun sudah ada program melalui PICK dan SELVAK yang mencari orang sebelum orang itu mendaftar dan sebagainya.

“Saya rasa itu sudah mencukupi tapi berkadaran kita bantu orang pergi ke sana (PPV) daripada kita cuba kaedah baharu.

“Saya tak rasa kaedah itu belum boleh dilaksanakan, tapi kalau ia patut dibincangkan kita boleh menilainya kembali.

“Setakat ini kita ada tiga cara termasuk PKPD, jadi kawalannya lebih baik berbanding cadangan yang dikemukakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette