KUALA LUMPUR – Tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang mengenakan bayaran sehingga RM350 untuk dua dos vaksin kepada majikan boleh merencatkan usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober tahun ini.
Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha mendakwa, caj itu jauh lebih tinggi berbanding bayaran yang dikenakan dalam Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
“Saya terpanggil untuk mendapatkan penjelasan Kerajaan Negeri Selangor atas aduan syarikat-syarikat serta kilang-kilang, berkaitan Program Vaksin Selangor (SelVax) kepada warga industri.
“Program tersebut yang mensasarkan sekurang-kurang satu juta pekerja industri, akan dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri dengan mengenakan bayaran RM350 ke atas majikan untuk dua dos vaksin.
“Usaha mencapai imuniti kelompok akan terbantut sekiranya Kerajaan Negeri Selangor mengenakan caj suntikan yang lapan kali ganda berbanding PIKAS dengan bayaran RM45 bagi setiap pekerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Haniza yang menerima aduan itu juga melihat tindakan Kerajaan Negeri Selangor hanya membebankan majikan yang perlu mengeluarkan kos suntikan besar ketika semua pihak terjejas akibat Covid-19.
“Dalam situasi pandemik yang mencabar ini, adalah tidak wajar mana-mana pihak mengambil kesempatan dan meraih keuntungan berlipat ganda daripadanya.
“Saya menyeru Menteri Besar Selangor menyemak semula serta menurunkan caj yang dikenakan ke atas warga industri agar lebih ramai warga industri dapat disuntik dan segera mencapai sasaran.
“Saya juga mengajak semua pihak bekerjasama melawan pandemik Covid-19 demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette