Home Nasional Dua kapal berlanggar di perairan Muar

Dua kapal berlanggar di perairan Muar

Sebuah kapal tangki dan sebuah kapal kargo berlanggar di kedudukan 14.1 batu nautika barat daya kuala Sungai Muar, tengah malam tadi.

JOHOR BAHRU – Sebuah kapal tangki dan sebuah kapal kargo berlanggar di kedudukan 14.1 batu nautika barat daya kuala Sungai Muar, tengah malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata pihaknya menerima maklumat mengenai isyarat kecemasan dari kapal kargo MV Zephyr Lumos dan kapal tangki MV Galapagos menerusi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Pekan Baru, Indonesia, pada jam 12.30 tengah malam tadi.

Sejurus menerima maklumat, pihaknya telah menggerakkan aset bagi mendapatkan gambaran kejadian.

“Hasil pemerhatian dan pemantauan di lokasi kejadian, disyaki kapal MV Zephyr Lumos telah terlanggar kapal sisi kanan kapal MV Galapagos. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kejadian dan jumlah kru terlibat masih disiasat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata pihak Jabatan Laut Wilayah Selatan dan Jabatan Alam Sekitar negeri Johor juga telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan untuk tindakan lanjut.- BERNAMA