SHAH ALAM – Populariti durian terus kekal sebagai ‘Raja Buah’ apabila masih gagal ‘dicabar’ oleh buah-buahan lain gara-gara permintaannya terus naik daripada segi kuantiti dalam pasaran tempatan.
Biar pun dikatakan sambutan pembeli pada musim durian kali ini agak perlahan disebabkan halangan rentas daerah dan negeri namun durian tetap mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan peminatnya.
Malah ada sesetengah jenis ‘Raja Buah’ itu kini hanya mampu dinikmati golongan berduit sahaja berikutan harga jualan durian yang tinggi sehingga mencecah RM100 sekilogram.
Ada yang mendakwa tidak lagi berpeluang merasai kenikmatan buah tempatan itu dan hanya mampu melihatnya sahaja dijual di tepi jalan atau gambar di media sosial.
Seorang pembekal utama durian, Mohd. llyasa Ismail, 31, mengakui, harga durian kekal mahal kerana harga itu sudah tinggi ketika dibeli di kebun yang dipajaknya di Mantin, Negeri Sembilan.
Katanya yang sudah tiga tahun mengusahakan gerai buah-buahan berkata, harga yang dijual kepada pemborong pula hanya dinaikkan sekitar 10 peratus sahaja sebelum harga itu mengalami kenaikan sehingga 40 peratus oleh peniaga runcit.
“Saya mula membekalkan durian sejak hujung Mei lalu dan musim durian tahun ini mungkin lama sehingga berbulan. Bekalan saya melibatkan kepada pemborong di seluruh Selangor selain menghantar ke Chow Kit.
“Ia melibatkan semua jenis durian termasuk musang ming, IOI, B24, udang merah dan kampung,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di gerai di Bukit Lanchong di sini baru-baru ini.
Anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan mengusahakan bisnes Nasa Fruit Supplies sejak tiga tahun lalu dengan membekalkan buah-buahan mengikut musim sepanjang tahun ini.
Mohd. Illyasa mengakui harga durian yang tinggi dan hanya mampu dibeli oleh mereka yang berkemampuan sahaja.
Namun katanya, dia masih menjual harga berpatutan kepada penduduk sekitar dalam usaha memberi peluang lebih ramai menikmati keenakan buah itu.
“Saya niat bersedekah dengan menawarkan harga murah bagi yang tidak mampu belinya dengan menjual longgok pada hujung minggu.
“Selain itu, saya juga membuat infak dengan menjamu pulut durian kepada pengunjung pada hujung minggu,” katanya yang turut bekerjasama dengan pendakwah bebas, Syed Mohamad menganjurkan program infak durian kepada warga kota sekitar Kuala Lumpur.
Ditanya kedudukan jenis durian yang tertinggi, Mohd. Illyasa memberitahu, durian Duri Hitam kekal menduduki carta teratas diikuti, Tupai King dan Musang King.
Jelas beliau ini kerana harga durian duri hitam mencecah RM120 sekilogram di pasaran berbanding tupai king (RM100) dan musang king (RM60).
Sementara itu, orang ramai yang ingin mendapatkan durian pada harga berpatutan boleh melayari Facebook Ilyasa Ilyasa Matsa. – MalaysiaGazette