Home Politik Ronnie cuba jadi hero isu pencerobohan tanah di Raub – Asyraf

Ronnie cuba jadi hero isu pencerobohan tanah di Raub – Asyraf

Facebook Asyraf Wajdi.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mengutuk sikap oportunis beberapa ahli politik khususnya dari parti DAP seperti Ronnie Liu yang ingin menjadi hero dan memainkan sentimen perkauman dalam isu pencerobohan tanah Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub Pahang.

Malahan golongan ini tidak malu dan berani menekan pihak berkuasa dari menjalankan tugas memguatkuasakan undang-undang, kata ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

“Syabas kepada anggota penguatkuasaan yang tidak berganjak dan tegas dalam tugasan mereka seperti yang viral di media sosial,” tulis di hantaran Facebook miliknya hari ini.

Beliau menyokong sepenuhnya ketegasan tindakan kerajaan Pahang dalam isu berkenaan termasuk ketegasan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Asyraf Wajdi  berkata, tindakan meneroka tanah secara haram dan tanpa izin, lebih-lebih lagi kawasan yang digazetkan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) adalah salah di sisi undang-undang.

Ia wajar diambil tindakan segera agar operasi haram itu dihentikan dan penceroboh-penceroboh terlibat didakwa di mahkamah.

Asyraf menambah, pihaknya juga berharap tindakan tegas kerajaan Pahang itu juga menjadi tanda aras baharu penguatkuasaan undang-undang dalam pentadbiran dan pengurusan sumber alam negeri seperti tanah, hutan simpan dan air negeri.

Selain itu kata beliau, tindakan itu turut menjadi manifestasi kesungguhan komitmen kerajaan Pahang yang dipimpin oleh UMNO-Barisan Nasional mengangkat rule of law sebaiknya. – MalaysiaGazette