Home Nasional Aplikasi Pulse diperluaskan ke Rapid Penang, Kuantan

Aplikasi Pulse diperluaskan ke Rapid Penang, Kuantan

Anisah Mohd Yusup menunjukan aplikasi PULSE yang kini boleh digunakan oleh pengguna Rapid Penang dan Kuantan.Ihsan Prasarana Malaysia Berhad.

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kini memperluaskan fungsi aplikasi perancang perjalanan, PULSE atau Planning Your Lifestyle Efficiently ke Rapid Penang meliputi Seberang Prai dan Rapi di Kuantan, Pahang.

Aplikasi berkenaan telah diperkenalkan kepada para pengguna perkhidmatan rel dan bas Rapid KL pada 17 Disember tahun lepas.

Pemangku Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datin Norlia Noah berkata, pihaknya berasa bangga untuk mengumumkan fungsi perjalanan PULSE kini diaktifkan meliputi perkhidmatan bas yang dikendalikan oleh Rapid Penang dan Rapid Kuantan.

“Dengan fungsi ini, PULSE memudahkan para pengguna di Pulau Pinang dan Kuantan termasuk kawasan sekitarnya seperti Bandar Diraja Pekan untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih baik sekali gus mengoptimakan masa perjalanan mereka dengan lebih produktif.

“Aplikasi PULSE mempunyai beberapa fungsi penting bagi pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana seperti perancang perjalanan, penjejak waktu ketibaan masa sebenar untuk perkhidmatan bas dan rel (Real-Time Bus and Train ETA), paparan notifikasi atau push notifications dan kalkulator tambang.

“Ia turut memaparkan peta stesen-stesen tren dan hab bas serta tempat-tempat menarik di persekitarannya seperti pusat membeli-belah, tempat makan dan santai serta lokasi tarikan pelancong bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan dan aktiviti mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Prasarana kini mengembangkan sayap penggunaan Aplikasi PULSE kepada pelanggannya di Rapid Penang dan Rapid Kuantan.

Tambah Norlia, sejajar dengan pelan digitalisasi tiga tahun bagi PULSE yang ditetapkan Prasarana, ia akan dikembangkan pada masa hadapan dengan pelbagai inisatif yang akan diperkenalkan sebagai menghargai sokongan para pengguna setia peneraju pengangkutan awam negara ini.

Antara lain, kata beliau, PULSE akan dilengkapi dengan fungsi pembelian atas talian, program kad kesetiaan, promosi dan ganjaran dengan rakan-niaga, ‘plug-in’ bagi akaun media sosial para pengguna dan gamifikasi.

Daripada segi penambahbaikan pula, terutamanya dari segi meningkatkan kepantasan pihaknya untuk berkongsi maklumat tentang status perkhidmatan dan maklumbalas dengan pengguna, dilakukan secara progresif supaya PULSE kekal menjadi aplikasi pilihan para pelanggan pengangkutan awam kendalian Prasarana.

“Setakat ini PULSE telah dimuat turun lebih 20,000 kali oleh pengguna pengangkutan awam khususnya di Lembah Klang, yang merangkumi semua perkhidmatan tren dan bas di bawah seliaan Rapid KL termasuk LRT, MRT dan monorel serta bas BRT, GoKL dan Smart Selangor.

“Serentak dengan pelancaran versi terbaru PULSE, pengguna yang memuat turun aplikasi ini berpeluang menyertai kempen promosi yang dinamakan Mana Oyen? bermula dari 23 hingga 30 Julai ini.

“Tiga penyertaan lengkap dan dengan jawapan yang betul dari setiap lokasi (Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan) akan memenangi hadiah misteri manakala 50 penyertaan terawal secara keseluruhan akan mendapat Kad My Rapid Touch ‘n Go edisi terhad.

“Dalam kepesatan perkembangan dunia digital, aplikasi PULSE menjadi wadah terbaik buat Prasarana bukan sahaja dalam penyampaian maklumat yang lebih pantas dan tepat, malah menjadi bukti iltizam syarikat untuk kekal relevan kepada para pelanggan dan orang awam.

“Ia mengangkat penanda aras dalam perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini selaras dengan aspirasi Prasarana untuk menggalakkan lagi orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dan meningkatkan peratusan penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang 2030.

“Aplikasi PULSE Prasarana boleh dimuat turun oleh orang ramai menerusi Apple App Store dan Google Play,” tegas Norlia.-MalaysiaGazette