LONDON – Novak Djokovic menang gelaran Wimbledon keenam sepanjang kariernya selepas menang dalam perlawanan akhir yang berlangsung semalam.
Kemenangan itu sekaligus menyaksikan bintang itu menyamai pencapaian Roger Federer dan Rafael Nadal dengan merangkul gelaran Grand Slam ke-20.
Bintang nombor satu dunia tenis kelahiran Serbia itu menang 6-7(4-7) 6-4 6-4 6-3 ke atas jaguh Itali matteo Berrettini di hadapan 15,000 penonton di Centre Court.
Berrettini, 25, yang menduduki rangking 25 dunia menerima sokongan gemuruh selepas mengejut lawannya berusia 34 tahun itu dalam set pertama.
Namun dia gagal mengekalkan prestasinya menyebabkan mudah dijinakkan oleh Djokovic.
Sejak Grand Slam dimulakan selepas tertangguh akibat Covid-19, Djokovic telah merangkul kesemua tiga gelaran Grand Slam yang diadakan tahun 2021.
“Menang di Wimbledon sentiasa menjadi impian terbesar saya sejak zaman kanak-kanak. Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di Serbia menghasilkan Piala Wimbledon menggunakan bahan buangan dari sampah dan simpan di rumah.
“Hari ini budak yang sama (Djokovic) berusia 34 tahun itu berdiri di sini dengan merangkul gelaran Wimbledon keenam.. ini perasaan yang sangat menakjubkan,” kata Djokovic.
Selepas merangkul gelaran Terbuka Australia dan Perancis, Djokovic muncul sebagai pemain kelima dalam sejarah yang berjaya menang tiga Grand Slam berturut-turut dalam satu musim.
Hanya selangkah lagi untuk Djokovic untuk muncul sebagai pemain kedua mencapai status ‘Golden Slam’ selepas mempertahankan kejuaraan All England Club musim ini.
Djokovic menjulang Grand Slam pertama dalam kariernya pada tahun 2008 di Terbuka Australia dan ketika itu Federer memiliki 12 gelaran Grand Slam.
“Saya perlu memberi penghargaan kepada Rafael Nadal dan Roger kerana mereka adalah legenda dunia tenis dan dua ikon terkuat yang saya pernah bersaing dalam karier.
“Saya berada pada kedudukan ini disebabkan dua ikon ini dan mereka menyebabkan saya menyedari apa yang saya perlu lakukan untuk mencapai kegemilangan dalam sukan tenis dengan fizikal, mental dan taktikal yang kuat,” ujarnya. – MalaysiaGazette