KUALA LUMPUR – Garis panduan yang akan dicadangkan kepada individu lengkao dua dos vaksin Covid-19 harus jelas, konsisten dan merangkumi prosedur operasi standard (SOP) yang betul untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja dan rakyat.
Presiden Persekutuan Pekerja Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman menegaskan, SOP perlu terus diamalkan oleh mereka yang telah melengkapkan vaksinasi kerana tiada jaminan vaksin yang telah diambil memberi perlindungan sepenuhnya terhadap virus Covid-19.
“MEF menyokong Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) berdasarkan pengalaman negara-negara lain yang membenarkan individu yang lengkap vaksin dibenarkan bergerak bebas dan mereka yang dijangkiti tidak mengalami simptom teruk, tidak memerlukan rawatan intensif dan oleh itu, tidak membebani sistem kesihatan awam,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang akan membentangkan garis panduan kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat, bagi memberi lebih kelonggaran kepada mereka yang sudah melengkapkan vaksinasi.
Namun, setakat ini tiada bukti klinikal bahawa mereka yang sudah lengkap menerima dua dos bebas daripada jangkitan Covid-19.
Lebih membimbangkan, kemunculan varian-varian baharu Covid-19 dengan kesan lebih teruk dan pada masa sama tidak ada bukti klinikal menunjukkan vaksin akan berkesan memberi perlindungan.
Disebabkan itu, di Amerika Syarikat dan Eropah sudah mula merancang untuk melaksanakan suntikan dos ketiga bagi meningkatkan lagi ketahanan diri terhadap Covid-19.
“Menurut Pusat Pengendalian Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, individu yang diberi vaksin sepenuhnya masih harus diperiksa jika mereka mengalami gejala Covid-19. Mereka juga dilarang memasuki tempat awam jika disahkan positif Covid-19.
“Oleh itu,mereka yang telah diinokulasi masih perlu mematuhi SOP kerana tidak ada bukti klinikal vaksin dapat melindungi sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19, atau melindungi orang lain dari dijangkiti,” ujar beliau.
Selain itu, pihak berwajib harus memastikan PICK dan garis panduan yang berkaitan termasuk program kesedaran mengenai manfaat dan risiko vaksinasi Covid-19 sesuai dengan hak individu, etika perubatan profesional dan prinsip undang-undang.
Beliau berkata, MEF berpendapat garis panduan yang diusulkan untuk mereka yang menerima dua dosis vaksin perlu tertakluk kepada SOP dan tidak boleh membeza-bezakan individu yang belum menerima dua dos vaksin untuk mengelakkan pelanggaran hak asasi manusia, komplikasi undang-undang dan polisi-polisi kawalan sosial yang negatif.
“Kita harus menerima bahawa Covid-19 sudah menjadi endemik dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak menjadikan vaksinasi Covid-19 sebagai wajib kerana di bawah undang-undang ini masih kekal sukarela.
“Walaupun kita mencapai imuniti kelompok, rakyat harus terus mengikuti SOP untuk melindungi diri sendiri dan orang lain daripada varian Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette