KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan tawaran iklan berhubung permohonan terbuka rumah mampu milik Serendah RM30,000, Skim Myhome & MyDeposit 2021 serta bantuan RM60,000 bina rumah atas tanah sendiri di bawah Skim Pinjaman Perumahan (SPP) yang tular dan diiklankan secara dalam talian oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kementerian ini dalam kenyataannya berkata, ia memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan iklan palsu berikutan terdapat pelbagai aduan dan pertanyaan daripada orang awam berhubung iklan palsu tersebut.
KPKT menjelaskan, pada masa ini, hanya permohonan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam (PPAM), Perumahan PR1MA dan SPNB sahaja yang dibuka oleh KPKT.
Terdapat juga kekeliruan orang awam berhubung harga tawaran bagi ‘Program PPR Dimiliki’.
Harga jualan yang ditetapkan adalah RM35,000 seunit bagi Semenanjung Malaysia dan RM42,000 seunit bagi Sabah dan Sarawak.
Bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai program dan skim terkini yang ditawarkan oleh KPKT, orang awam dinasihatkan untuk merujuk kepada laman sesawang rasmi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di https://www.kpkt.gov.my dan laman sesawang Jabatan Perumahan Negara di https://ehome.kpkt.gov.my atau https://teduh.kpkt.gov.my.
Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan untuk lebih berhati-hati agar tidak terpedaya atau terkeliru dengan sebarang tawaran permohonan yang diiklankan. – MalaysiaGazette