JOHOR BAHRU – Seorang pembantu gerai buah-buahan ditahan polis semalam apabila didakwa membuat kenyataan jelik menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu video di Instagram.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki berusia 31 tahun yang masih bujang itu ditahan pada pukul 9.30 malam di rumahnya di Ayer Hitam, Batu Pahat dekat sini.
Tahanan itu berikutan 10 laporan polis diterima berhubung video yang tular di laman sosial Facebook dan Instagram sejak semalam.
“Untuk makluman video tersebut menjadi viral dan mencetuskan kurang senang orang ramai terutama rakyat Johor. Posting menerusi laman Instagram itu melibatkan seorang individu bernama Amirul Naito, melibatkan 12 posting dibuat individu tersebut.
“Perkataan-perkataan yang digunakan itu amat jelik, menghina dan sebagainyalah, susulan itu 10 laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama,” katanya dalam sidang media hari ini.
Jelas Ayob Khan, mengikut rekod individu terbabit mempunyai rekod jenayah sebelum ini dan pernah ditangkap di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 kanun yang sama kerana khianat.
Semakan polis turut mendapati suspek juga pernah dikenakan hukuman pada tahun 2017 dan pada tahun 2020 atas kesalahan sama.
Kes diasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Lelaki terbabit ditahan untuk membantu siasatan dan polis masih dalam permohonan reman,” katanya.-MalaysiaGazette
Masaalah jiwa lah dia ni, lebih baik selesaikan perkara ni depan TMJ, kata nk berdepan sangat dengan TMJ ini lah peluangnya. Apa lagi ni peluang ko nk buka silat pulut ke silat paku. Setakat cabar dlm IG anak aku umur 7 tahun boleh buat camtu.