Home Nasional Mayat lelaki ditemui dengan kesan kelar dalam tali air

Mayat lelaki ditemui dengan kesan kelar dalam tali air

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di dalam tali air di Permatang Kerai Kecil, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan kelar pada kepala di Permatang Kerai Kecil, Kepala Batas di sini hari ini.

Mangsa ditemui dalam tali air dalam keadaan terlentang bersebelahan motosikalnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berlaku kemalangan di kawasan berkenaan pukul 8.15 pagi.

Noorzainy Mohd Noor.

Hasil pemeriksaan awal pegawai penyiasat polis trafik mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 dipercayai terbabas sendiri sebelum masuk ke dalam tali air.

“Susulan itu, mayat mangsa dibawa naik ke atas jalan mini tar untuk dimasukkan ke dalam plastik hitam. Bagaimanapun, ketika ahli keluarga menanggalkan topi keledar dipakai mangsa, pegawai penyiasat mendapati terdapat kesan kelar pada bahagian kanan kepala mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Noorzainy, semakan juga mendapati mangsa mempunyai dua rekod kes jenayah lampau.

“Siasatan berhubung kes ini kini dijalankan oleh polis bahagian jenayah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette