KUALA LUMPUR – Para penduduk di Kg. Rhu Sepuluh dan Kg. Kuala Kubang, Setiu, Terengganu kini boleh menikmati jaringan telekomunikasi 4G yang lebih baik selepas dua buah menara komunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah siap dibina dan mula beroperasi di kedua-dua kampung tersebut sejak bulan Jun yang lalu.
Pembinaan menara-menara baharu dengan liputan 4G itu akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk kampung di Rhu Sepuluh dan Kg. Kuala Kubang.
Selain itu, ia juga memberi manfaat dan impak positif kepada Pantai Penarik yang merupakan antara lokasi pelancongan utama di Setiu.
Suruhanjaya Komunikasi Multi Media berkata, penambahbaikan liputan 4G di bawah inisiatif JENDELA di dalam kawasan parlimen Setiu dilaksanakan secara berterusan dengan sebanyak 15 menara baharu lagi telah diluluskan dan dijangka siap beroperasi secara berperingkat bermula pada suku kedua tahun 2022.
Sementara itu, kerja-kerja naik taraf liputan kepada 4G di 78 menara sedia sedang giat dilaksanakan dan dijangka akan siap beroperasi secara berperingkat bermula Ogos ini sehingga Mac 2022 akan datang. – MalaysiaGazette