Home Nasional Cubaan provokasi, kami hanya mahu bantu HTAR – Sheikh Weshal

Cubaan provokasi, kami hanya mahu bantu HTAR – Sheikh Weshal

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Sheikh Wishel Sheikh Ahmad.

KLANG – Pemuda UMNO Kota Raja menafikan menafikan dakwaan ia melakukan provokasi terhadap Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini.

Ketuanya, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad berkata, pihaknya hanya  mengambil inisiatif bagi membantu hospital itu yang mana keadaannya tidak terkawal.

“Kami maklum mengenai keadaan HTAR yang sudah tidak mampu menyediakan ruang penyimpanan mayat Covid-19.

“Saya telah mendapatkan sebuah kontena sejuk beku yang boleh memuatkan hampir 100 mayat dalam satu-satu masa dan menghantarnya ke bahagian kecemasan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Katanya, kontena yang disewa khas itu boleh digunakan HTAR sementara menunggu ketibaan kontena yang telah ditempah.

“Tetapi, apabila kontena kami tidak diterima malam itu, siapa yang tidak marah.

“Saya terus panggil Exco Pemuda yang tinggal berdekatan di sini dan menyuruhnya tularkan perkara tersebut,” ujarnya.

Jelas Sheikh Wishel, pada awalnya mereka memuat naik video di media sosial untuk menyatakan rasa tidak berpuas hati kerana kontena mereka tidak dibenarkan masuk ke kewasan HTAR.

Tambahnya, beliau tidak akan membiarkan kontena itu berada di luar kawasan hospital tersebut sedangkan mengetahui ia sangat-sangat diperlukan.

Namun ujar beliau, selepas beberapa jam video itu dimuat naik, HTAR menghubunginya untuk memaklumkan kontena mereka  boleh digunakan.

Selepas mendapat kebenaran hospital, Sheikh Wishel telah mengarahkan agar video tersebut segera dipadamkan.

“Kami hanya nak membantu dan kontena itu akan kami ambil semula selepas HTAR menerima kontena daripada Kementerian Kesihatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sheikh Weshal berkata, pihaknya juga kini sedang dalam usaha menyediakan van jenazah untuk membantu HTAR menguruskan jenazah Covid-19.

“Sebagai masyarakat pelbagai bangsa dan agama, kita perlu bekerjasama untuk membendung penularan wabak Covid-19 ini.

“Dengan bantuan pengurusan kami, InsyaAllah Pemuda UMNO Kota Raja akan membantu,” katanya.

Terdahulu, Pemuda UMNO Kota Raja dengan kerjasama Pertubuhan Integrasi Nasional menyumbang sebuah kontena khas untuk menempatkan mayat pesakit Covid-19 di HTAR.

Inisiatif berkenaan diambil selepas pihaknya melihat ruang pusat simpanan mayat pesakit Covid-19 di hospital berkenaan semakin berkurangan. – MalaysiaGazette