Home Nasional Inisiatif padanan kerja untuk gelandangan

Inisiatif padanan kerja untuk gelandangan

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor Zaiton Ismail

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor akan mengadakan proses pemadanan pekerjaan kira-kira kepada 229 golongan gelandangan di negeri itu bagi memastikan nasib golongan tersebut terbela.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail berkata, inisiatif kerajaan negeri turut mendapat kerjasama pelbagai pihak terutama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Katanya, untuk permulaan pertubuhan itu akan mengenalpasti gelandangan yang dilihat berpotensi untuk diberi upah oleh majikan yang memerlukan pekerja.

“Sebelum padanan kerja dibuat, Perkeso akan mengenalpasti tahap kesihatan, umur dan kemahiran yang ada untuk disesuaikan dengan keperluan majikan.

“Berdasarkan kepada data yang dikumpul oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), seramai 72 peratus daripada 229 orang yang dikenalpasti yang masih produktif untuk bekerja iaitu umur 18 hingga 30 tahun (11 peratus), umur 31 hingga 41 tahun (31 peratus) dan umur 41 hingga 50 tahun (30 peratus).

“Namun berdasarkan umur golongan itu, gelandangan berusia 18 hingga 30 tahun menunjukkan minat untuk bekerja. Ketika data dikumpulkan, ada juga di antara mereka yang tidak mahu bekerja,”katanya kepada media ketika ditemui di Bangunan Datuk Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Menurut Zaiton, Perkeso akan menjalankan dua proses bersama dengan gelandangan iaitu sesi profiling atau pencari kerja.

Pada proses ini, jelasnya, pertubuhan itu akan meneliti butiran peribadi gelandangan, seterusnya memberikan motivasi kepada mereka.

Selain mereka akan memberikan penempatan sementara di Anjung Singgah, ujarnya.

“Kemudian kita akan ada sesi grooming kerjaya dan temuduga bersama majikan di Anjung Singgah, Perkeso juga akan membuat sesi padanan pekerjaan dengan kekosongan jawatan yang disediakan oleh pihak majikan.

“Kedua, Perkeso akan mengadakan sesi libaturus dengan majikan yang ingin ambil pekerja dari golongan gelandangan. Ini juga dapat membantu majikan mendapatkan insentif kerajaan melalui Insentif Pengambilan Pekerja 3.0 bagi kategori golongan mudah terjejas yang akan dibuka permohonannya pada 15 Julai depan.

“Fokus peluang pekerjaan yang ditawarkan ialah jawatan berkemahiran rendah di mana ia bersesuaian dengan mereka seperti operator pengeluaran, perkhidmatan pembersihan, runcit dan lain-lain,” katanya

Menurut Zaiton, proses sesi temuduga bersama majikan akan dilaksanakan di Anjung Singgah sebagaimana persetujuan yang diadakan bersama pihak Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Perancangan bagi program temuduga khas Gelandangan 1.0 dijangka diadakan pada 26 Julai depan bertempat di Anjung Singgah.

Mengulas lanjut, Zaiton berkata, bagi gelandangan yang bermasalah termasuk daripada segi kesihatan dan berusia, pihaknya akan menyantuni mereka dan menyelami keperluan masing-masing.

Sekiranya perlu golongan ini, khususnya yang berusia 60 tahun ke atas, akan dibawa pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Setakat ini, seramai 108 gelandangan di negeri ini telah disantuni dan dipulangkan ke pangkuan keluarga masing-masing di seluruh negara.

“Kita harapkan dengan pemadanan pekerjaan golongan gelandangan ini akan mengurangkan jumlah gelandangan di bandaraya ini dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette