KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai mengesahkan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Nilai dan Balai Polis Keramat, Pulau Pinang membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Georgetown, Pulau Pinang 12 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pasukan pemeriksaan terbabit telah memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa kepada penghuni kediaman tersebut.
“Pihak polis ingin mengesahkan siasatan dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dan bertindak atas maklumat Op Pelican“, katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, melalui perkongsian dua video yang tular di media sosial hari ini, seorang wanita yang berada di rumah itu enggan membuka pintu dan membenarkan pihak polis membuat pemeriksaan kerana menyangka mereka hanya menyamar sebagai anggota polis.
Mohd Fazley berkata, anggota polis ke kediaman tersebut bertujuan untuk mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu laporan polis.
“Hasil pemeriksaan polis dapati lelaki yang dikesan tiada di rumah tersebut,” jelasnya.
Justeru, katanya tiada sebarang tangkapan dan rampasan yang dibuat.
PDRM menasihati orang ramai tidak mensensasikan fakta isu berkenaan dan memberikan kerjasama pada pihak polis dalam menguatkuasakan undang-undang. – MalaysiaGazette