KUALA LUMPUR – Walaupun apa juga alasan, Pergerakan Pemuda UMNO mempersoalkan kewajaran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengambil kesempatan melancong ke Hagia Sophia, Turki.
Menurutnya tidak wajar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berbuat demikian ketika rakyat negara ini bergelut dengan angka kematian dan ribuan rakyat beratur panjang di Pusat Penilaian Covid (CAC) kerana jangkitan Covid-19.
Peningkatan kes kematian dan jumlah mereka yang ke CAC meningkat setiap hari.
Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki bertanya, tidakkah Mohamed Azmin tiada sekelumit rasa resah dan gelisah memikirkan keadaan rakyat Malaysia ketika ini.
”Apatah lagi Datuk Seri kena ingat antara punca total lockdown ini gagal adalah kerana kilang-kilang terus dibenarkan beroperasi sedangkan rakyat dikurung dan terus menderita hingga hilang punca pendapatan!,” katanya.
Untuk rekod, tambah beliau, sejak diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada 1 Jun 2021 sehingga semalam – dalam tempoh 42 hari sebanyak 3,460 kematian direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat pandemik itu bertambah kepada 6,260 orang.
“Kalau sudah ‘mati rasa’ hingga tiada sekelumit perasaan sensitif atau bersalah, Pemuda UMNO desak Menteri MITI mesti letak jawatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette