KUALA LUMPUR – Kertas siasatan kes Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan dengan memakan durian secara beramai-ramai di Batu Pahat, Johor akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan diperolehi pihaknya untuk tindakan lanjut.
“Esok (Rabu) kertas siasatan itu akan diangkat kepada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia akan menunggu arahan keputusan selanjutnya dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Biar polis siasat video Rashid Hasnon makan durian – Ismail Sabri
Sebelum ini, rakaman klip video berdurasi 13 saat itu yang tular di media sosial memaparkan majlis kenduri durian di sebuah kebun dipercayai di Batu Pahat dengan kehadiran Abdul Rashid.
Tambah beliau, kertas siasatan telah dilengkapkan selepas Ahli Parlimen Batu Pahat itu dirakam keterangan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya negeri Johor pada 5 Julai lalu. – MalaysiaGazette