Home Ekonomi MyPAC buka peluang pelajar Bumiputera jadi akauntan profesional

MyPAC buka peluang pelajar Bumiputera jadi akauntan profesional

KUALA LUMPUR – Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) bekerjasama dengan beberapa badan korporat dan instit usi zakat negeri untuk membiayai pengajian Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) membantu pelajar Bumiputera yang memerlukan bantuan pembiayaan untuk meneruskan pengajian bagi menjadi seorang akauntan profesional,

Usaha ini turut membantu dalam meningkatkan bilangan akauntan profesional Bumiputera di Malaysia, yang mana ia merupakan tujuan utama penubuhan MyPAC selain daripada meningkatkan kualiti taraf hidup selepas mereka menamatkan pengajian kelak.

Ini kerana ia akan membuka peluang yang luas kepada mereka untuk berkhidmat sama ada di sektor kerajaan, swasta mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga konglomerat syarikat multi nasional (MNC).

MyPAC telah merangka beberapa program bagi membolehkan pelajar lepasan SPM sehingga ke peringkat siswazah Ijazah Sarjana Muda Perakaunan yang layak, untuk memohon bantuan pembiayaan tersebut.

Bagi pelajar lepasan SPM, mereka akan mengikuti Kursus Asasi Perakaunan (FIA) terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian ke peringkat ACCA; manakala bagi graduan Diploma Perakaunan dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pula boleh meneruskan pengajian ACCA secara terus.

Pada masa yang sama, mereka juga akan diberikan pengecualian untuk beberapa kertas subjek ACCA.

Manakala bagi mereka yang sedang mengikuti pengajian ACCA pula, MyPAC menerusi program “Last Miler” turut menawarkan pembiayaan kepada mereka yang sedang bekerja.

Zaiton Hassan

Program ini khusus untuk mereka yang mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya selama setahun dan tempoh pengajian yang masih berbaki sebanyak dua subjek ACCA.

Program MyPAC bukan sahaja menjurus kepada pembiayaan kewangan untuk pelajar, tetapi ia turut menekankan aspek pembangunan profesional, di mana pelajar akan mengikuti beberapa modul bagi membentuk jati diri dan seterusnya membantu mereka untuk menjadi seorang akauntan profesional yang holistik pada masa hadapan.

Sehingga ke hari ini, MyPAC telah berjaya melahirkan lebih daripada 900 graduan ACCA dan 43 orang World Prize Winners termasuk oleh Nurul Fatin Nabihah binti Hamdan dan Siti Naziah Mohamad Nazid yang telah berjaya memperoleh tempat ketujuh dan kesembilan di dunia, masing-masing bagi subjek Strategic Business Reporting dan Audit and Assurance, di mana kedua-dua mereka telah menerima ucapan tahniah daripada Yang di-Pertuan Agong menerusi laman sosial media Istana Negara baru-baru ini.

Datuk Zaiton Mohd Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC berkata, kejayaan pelajar-pelajar dari golongan B40 dan asnaf ini, jelas membuktikan yang sekiranya diberikan peluang dan bimbingan, mereka juga dapat menunjukkan kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan di peringkat global. MyPAC, dengan kerjasama pelbagai pihak korporat dan badan-badan zakat akan meneruskan usaha murni ini, bagi memastikan lebih ramai pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk mendapat peluang menjadi akauntan profesional.

Bagi mereka yang berminat, anda boleh melawat laman sesawang www.mypac.org.my serta Facebook MyPAC untuk maklumat terkini juga berhubung secara terus menerusi talian WhatsApp di 012-9190210. – MalaysiaGazette