Home Utama Penduduk merungut: CAC Andalas akan dipindahkan

Penduduk merungut: CAC Andalas akan dipindahkan

Gelagat orang awam yang disyaki positif Covid-19 beratur panjang seawal pagi bagi melakukan penilaian kesihatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Dewan Sukan MPK, Taman Sri Andalas, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 13 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa kesihatan Negeri Selangor akan membuat penilaian semula penempatan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Taman Sri Andalas, Klang.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Indera Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, penilaian semula itu dilakukan berdasarkan kepada rungutan penduduk setempat yang menyifatkan penempatan CAC tersebut tidak sesuai kerana berhampiran rumah penduduk serta laluan utama keluar masuk ke taman berkenaan.

“Kita akan melakukan penilaian semula sekiranya CAC Andalas ini tidak dapat beroperasi dengan baik, kita akan pindahkan ke tempat lain yang telah dikenalpasti dalam tempoh dua minggu,” katanya dalam sidang media khas bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hari ini.

Semalam, ramai penduduk sekitar Taman Sri Andalas melahirkan rasa tidak puas hati kerana berpendapat CAC itu tidak sesuai dibuat di kawasan tersebut.

Menurut kenyataan di Facebook N49 DUN Sungai Kandis, selepas dewan berkenaan dijadikan CAC, surau berdekatan terpaksa ditutup serta merta walaupun tiada arahan selain penduduk bimbang mengenai risiko penularan Covid-19 di kawasan terbabit.

Menurut Sha’ari, setakat ini pihaknya telah mengambl langkah perlu iaitu dengan membuat kepungan di CAC berkenaan.

Ia bagi memisahkan penduduk setempat dengan pesakit positif Covid-19 yang hadir ke CAC Andalas.

Gelagat orang awam yang disyaki positif Covid-19 beratur panjang seawal pagi bagi melakukan penilaian kesihatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Dewan Sukan MPK, Taman Sri Andalas, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 13 JULAI 2021.

“Apa yang telah dilakukan dimana kawasan itu telah dikepung untuk mengasingkan antara kawasan pesakit dan penduduk awam.

“Kita telah menambahkan anggota kawalan lalu lintas tersebut dan kita telah dapat menguruskan aliran pesakit untuk ke CAC berkenaan.

“Pada masa yang sama, kita telah meletakkan beberapa khemah dan kerusi untuk memudahkan pesakit supaya tidak panas dan sebagainya,” katanya lagi.

Sha’ari berkata CAC Andalas adalah CAC gantian daripada Taman Botani, Klang yang tidak dapat menampung pesakit.

Jelasnya CAC Andalas yang dibina sejak Isnin dapat menampung 1,000 pesakit.

Bagaimanapun, semalam CAC itu dibanjiri 1,924 orang pesakit yang mencetuskan kebimbangan kepada penduduk di situ. – MalaysiaGazette