Home Nasional Rider dituduh ada hubungan dengan isteri orang dibelasah

Rider dituduh ada hubungan dengan isteri orang dibelasah

PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Gara-gara salah faham dan mengesyaki seorang lelaki ada hubungan sulit dengan isterinya, penghantar makanan dibelasah tanpa usul periksa.

Lebih menyedihkan video berkaitan disalahtafsir dan ditular kononnya pergaduhan itu melibatkan isu perkauman namun dinafikan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan mendapati ia berpunca dari salah faham antara pengadu iaitu penghantar makanan terbabit  dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.

Bagaimanapun penghantar makanan itu tidak mempunyai hubungan dengan isteri lelaki tersebut.

“Sebaliknya penghantar makanan itu hanya mengenali wanita berkenaan sebagai bekas rakan sekerja selama lebih kurang lapan tahun lalu dan kebetulan menghantar makanan yang dipesan ke rumah pengadu.

“Pengadu dan mangsa telah berbincang untuk menyelesaikan kes secara baik dan satu laporan polis tlah dibuat pengadu untuk menarik balik kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, menurut Mazuki, polis berjaya mengesan video penghantar makanan dipukul itu di media sosial dan mendapati ia mencetuskan kegusaran awam.

“Polis juga ingin menjelaskan kejadian video yang tular tersebut sebenarnya berlaku di Parit Buntar namun ia bukanlah pergaduhan yang melibatkan perkauman seperti yang didakwa dan ditularkan,” katanya.

Justeru itu, polis mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak benar sehingga menimbulkan kegusaran awam.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tegasnya.-MalaysiaGazette