KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan beliau secara peribadi kurang mengenali wanita bernama Siti Bainun yang merupakan pengasas rumah kebajian, Rumah Bonda.
Namun beliau mengakui pernah hadir dalam majlis yang dianjur Puteri UMNO lima tahun dahulu pada tahun 2016 yang mana Siti Bainun diberi Anugerah Khas Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2016.
Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, beliau perlu membuat penjelasan kerana terdapat pihak cuba mengaitkan dirinya dengan kes yang disiasat polis melibatkan adik Bella.
Tegas Najib, sepatutnya pihak tersebut bertanya dengan bekas Ketua Puteri UMNO yang telah melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mengaku mengenali Siti Bainun.
“Saya tahu pihak sebelah sana sudah mula cuba kaitkan saya dengan #JusticeForBella sebab saya pernah hadir dalam sebuah majlis yang dianjur Puteri UMNO 5 tahun dahulu pada tahun 2016 di mana Siti Bainun, diberi Anugerah Khas PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA 2016.
“Seperti kenyataan Ketua Puteri UMNO tahun 2021, setiap kes penderaan mesti disiasat dengan teliti oleh pihak berkuasa, dan si pelaku mesti diheret ke muka pengadilan, tidak ada siapa yang kebal dari dikenakan tindakan undang-undang. Sejak 3 hari lalu, saya juga mengikut rapat kes adik Bella dan saya amat bersimpati pada adik Bella.
“Namun, bukan saya yang pilih penerima anugerah tersebut pada tahun 2016 dan secara peribadi, saya kurang berkenalan dengan Siti Bainun. Sebab itu, ianya lebih elok untuk kamu bertanya terus kepada Ketua Puteri UMNO tahun 2016 yang sudah lompat ke PPBM.
“Dia dah mengaku di sini: https://www.facebook.com/emysamsudin/posts/10226591057907362,” tulis di hantaran Facebook miliknya di sini,” katanya. – MalaysiaGazette