Home Seni Hidup Sifat kemanusiaan polis dalam Op Bantu

Sifat kemanusiaan polis dalam Op Bantu

Op Bantu dijalankan oleh IPD Kuantan menyantuni dan mendekati 47 buah keluarga yang memerlukan

KUANTAN – Sudah menjadi tanggungjawab hakiki polis menjaga ketenteraman dan melindungi keselamatan masyarakat namun di sebalik pakaian seragam biru tergalas rasa empati dan keprihatinan kepada komuniti.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, Op Bantu memasuki fasa kedua kini sudah mendekati sebanyak 47 keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ini tentang sifat kemanusiaan, polis bukan sahaja membuat penguatkuasaan tetapi tugas dan tanggungjawab dan menyantuni serta mendekati masyarakat yang terjejas.

pasangan suami ini tersenyum germbira tanda kesyukuran menerima kunjungan dan bantuan oleh PDRM dalam Op Bantu

“Kita telah mempunyai senarai nama penerima bantuan mengikut keutamaan diagihkan dengan bantuan Amanita terdiri anggota polis wanita, dan Pertubuhan Sukarelawan Malaysia (RELA),” jelasnya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohamad Noor, fasa pertama Op bantu bermula 7 Julai lalu merupakan kolaborasi strategik antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Terima kasih kepada Ketua Polis Negara kerana membenarkan semua ibu pejabat polis daerah berkolaborasi dengan NGO yang ingin menyampaikan bantuan.

“Dan hasil sumbangan daripada NGO yang bekerjasama dengan pihak polis akan disalurkan secara berterusan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Op Bantu: Polis PJ serah 340 bakul makanan kepada penduduk setempat

25,035 penduduk Petra Jaya sudah terima bakul makanan

Kunjungan dan bantuan disalur tanpa mengira kaum, agama dan bangsa

Dalam pada itu, penerima bantuan, Nur Haslida Daud, 44, yang juga ibu kepada tiga cahaya mata bersyukur atas sumbangan yang diterima.

“Hari ini perasaan terharu bila pihak polis sendiri yang menghantarkan barang keperluan dapur. Hari semalam polis ada datang menziarah bertanya khabar, hari ini datang hantar bantuan.

“Terima pihak polis bersusah payah datang menghantar sendiri barang, benarlah ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’ seperti mottonya,” ujarnya. – MalaysiaGazette