JOHOR BAHRU – Tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor mahu menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu yang kini diterajui UMNO.
Sebaliknya kenyataan dibuat ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh yang juga wakil rakyat Bersatu lebih kepada pandangan peribadi, kata Datuk Osman Sapian.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Bersatu Johor berkata, kenyataan dibuat Che Zakaria semalam yang mengaitkan lima nama ADUN parti itu tular sekali gus menaikkan suhu politik di negeri itu.
“Sebenarnya perkara ini saya telah mendapat maklum balas daripada ADUN terlibat itu malam tadi pun ada yang hubungi saya mereka sendiri juga tidak tahu.
“Saya sendiri tidak dihubungi dan akan berlaku ini mungkin pandangan peribadi Datuk Zakaria Salleh selaku ADUN Permas, mungkin beliau memberi gambaran di mana supaya kerjasama patut diberikan ADUN Bersatu oleh ketua kerajaan sekarang, Datuk Hasni Mohamed.
“Saya sudah bercakap dengan empat orang ADUN Bersatu dan mereka sendiri melahirkan rasa terkejut sedangkan mereka tidak ada menyatakan apa-apa pendirian lagi.
“Jika betul perkara sebegitu berlaku (tarik sokongan) selalunya ADUN Bersatu akan rujuk dan minta nasihat saya sebagai bekas Pengerusi Bersatu Johor namun setakat ini tiada yang datang untuk bincang dan tanya pendapat berkaitan isu itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Kempas hari ini.
Dalam pada itu Osman yang juga ADUN Kempas tidak menolak kemungkinan isu berkenaan timbul berikutan hubungan kepimpinan Menteri Besar Johor yang renggang dengan ahli Bersatu sejak kebelakangan ini.
Ini termasuk beberapa tindakan Hasni yang disifatkan lebih mengutamakan kroni secara tidak langsung meminggirkan pemimpin Bersatu di Johor.
Jelasnya, Hasni seharusnya membentuk hubungan harmoni dalam kalangan kesemua pemimpin untuk mengelak keadaan politik yang kini semakin goyah.
Semalam media melaporkan empat ADUN Bersatu Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan PN Johor jika UMNO masih mendesak untuk menukar kerajaan pada peringkat Pusat.
ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh yang merupakan seorang daripadanya berkata, mereka sedia menarik sokongan pada bila-bila masa sekali gus akan mengakibatkan kerajaan PN Johor runtuh.- MalaysiaGazette