Home Nasional Tidak sempat nikmati hasil, premis judi kena serbu

Tidak sempat nikmati hasil, premis judi kena serbu

Pusat judi online diserbu di Jalan Genting Klang Setapak malam Isnin dan membawa kepada penahanan seorang penjaga premis warga Bangladesh.

KUALA LUMPUR – Sebuah premis judi dalam talian yang baru 10 hari beroperasi diserbu polis di Jalan Genting Klang, Setapak malam semalam.

Hasil serbuan itu, seorang penjaga premis berkenaan yang merupakan warga Bangladesh berjaya ditahan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner, Nasri Mansor berkata, serbuan dibuat pasukannya sekitar pukul 4.15 petang.

“Siasatan awal mendapati premis itu baru beroperasi sejak 10 hari yang lalu dan suspek juga bekerja untuk tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nasri, hasil soal siasat, suspek ditawarkan gaji RM1,500 sebulan oleh premis itu dan berkerja bermula 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Menurut, hasil pemeriksaan di premis judi itu, pihaknya berjaya merampas sebanyak 11 komputer riba, 11 tetikus, sebuah unit wifi dan wang tunai RM160 untuk tindakan lanjut.

Suspek ditahan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-MalaysiaGazette