KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru lebih ramai peniaga mengambil inisiatif membantu masyarakat yang memerlukan dengan menyumbangkan barang keperluan.
Presiden UMNO itu berkata, beliau terharu melihat sikap baik hati peniaga meletakkan barang keperluan di depan premis dengan notis, “Sesiapa yang memerlukan, sila ambil”.
Beliau berterima kasih kepada peniaga berkenaan kerana membuktikan sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa besar.
“Berniaga mencari keuntungan dan berkongsi sebahagian keuntungan dengan yang memerlukan adalah amalan mulia.
“Sikap sedemikian selari dengan tuntutan agama iaitu mencari keredhaan Allah dalam berniaga.
“Ini juga menunjukkan golongan peniaga tahu ramai rakyat dalam kesusahan dan memerlukan bantuan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Kata Ahmad Zahid, sangat baik jika di setiap kawasan ada premis berbuat demikian, kerana tangan memberi lebih baik daripada yang menerima dan bersedekah itu bukan perkara merugikan.
Namun, katanya, kepada yang berhasrat mengambil barang bantuan itu dinasihati agar mengambilnya mengikut keperluan supaya lebih ramai mereka yang memerlukan mendapat manfaat. – MalaysiaGazette