KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu melihat perlantikan Datuk Seri Ismail Sabri selaku Timbalan Perdana Menteri bertujuan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti tu selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) tiga tahun lalu.
Penganalisis politik Dr. Achman Dzarien Mohd Nazri berkata, Naib Presiden UMNO itu harus dilihat sebagai ‘jambatan’ untuk UMNO kembali menerajui pentabiran negara sekiranya bergerak sendiri dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kelak.
“Pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri merupakan litmus test kepada UMNO untuk melihat sejauh mana kepimpinan parti mampu mengembalikan keyakinan pada rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Mengulas lanjut, Achman Dzarien lantikan Ismail Sabri ke jawatan nombor dua terpenting negara itu menunjukkan satu penghargaan kepada UMNO.
Katanya jelas UMNO memainkan peranan penting dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila jawatan-jawatan Kabinet yang penting dilihat diberikan kepada UMNO.
“Dengan pelantikan ini dibuat maka ia satu penghargaaan dan pengiktirafan kerajaan PN kepada UMNO dan ini seharusnya memberikan satu kelebihan atau memberi semangat kepada ahli-ahli UMNO dan Ahli Parlimen UMNO bekerja keras atas kapasiti mereka untuk bersama-sama menyumbang tenaga dalam mengurangkan kesan pandemik,” katanya lagi.
Pada 7 Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perlantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.
Malah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memegang portfolio Menteri Luar kini berstatus Menteri Kanan dan turut mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri.
Sebelum ini tular video Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang membidas ahli-ahli MKT UMNO yang tidak mengucapkan tahniah kepada Ismail apabila diumumkan dilantik TPM walaupun selepas mendapat restu presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Malah sebelum ini, seorang lagi ahli MKT, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mendakwa Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak telah memberikan restu kepada Ismail untuk menerima jawatan TPM. – MalaysiaGazette