BAYANGKAN pada satu hari sedang kita seronok membaca bahan bacaan sama ada di lembaran akhbar atau pun melayarinya di internet, tiba-tiba mata kita terfokus kepada satu-satu ayat atau keseluruhan intipati penulisan yang macam tak asing sungguh bagi kita. Rupa-rupanya, itulah bahan penulisan kita sendiri yang diciplak dan diceduk mentah-mentah oleh penulis bahan bacaan tersebut. Paling-paling tidak pun, adalah tambahan sedikit sebagai perubahan di sana dan sini, namun tetaplah ia adalah hasil asli dari buah fikiran kita sendiri! Inilah dia yang dinamakan plagiarisme.
Gejala plagiarisme adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan saling tak tumpah konsepnya seumpama merompak. Begitu juga dengan apa yang berlaku dalam dunia penulisan akademik, plagiarisme atau menciplak adalah unsur pemusnah kemurnian dan martabat ilmu pengetahuan. Plagiarisme berlaku apabila seseorang menghasilkan semula atau menciplak hasil ilmiah milik orang lain sama ada dalam bentuk perkataan-perkataan, idea-idea atau penemuan-penemuan tertentu. Kemudiannya, hasil yang diciplak itu dipersembahkan sebagai hasil ilmiah dirinya tanpa memberi pengiktirafan atau rujukan yang sepatutnya kepada pemilik asal hasil ilmiah tersebut.
Terdapat tiga bentuk plagiarisme yang biasa diamalkan. Pertama, peniruan secara langsung perkataan-perkataan, perenggan-perenggan, atau sebarang bahan yang diambil daripada bahan terbitan orang lain tanpa usaha yang sewajarnya dalam mengiktiraf sumber asal bahan ilmiah tersebut. Kedua, pengubahsuaian perkataan-perkataan orang lain tanpa memberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Ketiga, menggunakan idea-idea yang secara langsung diambil daripada orang lain tanpa memberikan pengiktirafan kepadanya.
Diakui bahawa dengan teknologi ‘dunia di hujung jari’ melalui Internet pada masa kini, seseorang pelajar mampu menyiapkan kertas kerja atau tesisnya dengan jalan pintas yang cepat. Dengan sumber ilmu yang cukup luas dan pelbagai di atas talian, tugasan akademik yang kelihatan mencabar menjadi cukup mudah, semudah ‘tiru dan tampal’ (copy and paste). Namun, mengambil bulat-bulat atau sebahagian daripada karya milik orang lain dan memperakukan bahawa ianya adalah hasil karya sendiri adalah satu perbuatan yang membuktikan kemalasan seseorang yang melampau dan ia sungguh keji. Di mana letaknya kualiti penulisan akademik dan etika seseorang pelajar itu andai dia meniru dan menciplak karya hak milik orang lain sewenang-wenangnya? Di mana juga nilai intelek dan kesarjanaan seseorang pelajar yang seharusnya cuba sebaik mungkin mengeluarkan potensi dan bakat dalam bidang akademik masing-masing?
Untuk itu, pensyarah dan universiti diminta untuk tidak berkompromi dengan pelajar yang melakukan kesalahan sebegini. Walaupun statistik berlakunya kes-kes plagiat ini masih lagi bersifat terpinggir, namun jika ianya dibiarkan terus berleluasa, dirasakan bahawa ia akan memberi impak yang cukup negatif terhadap usaha pembentukan siswazah yang berkualiti dan pengayaan karya-karya akademik yang boleh dikongsi bersama oleh semua pihak. Berdasarkan artikel bertajuk ‘Staying Out of Trouble: Apparent Plagiarism and Academic Survival’ yang ditulis oleh Pat Currie dalam Journal of Second Language Writing, terdapat beberapa pihak yang bertanggungjawab mencegah usaha plagiarisme dalam penulisan akademik iaitu universiti dan fakulti, pensyarah dan para pelajar sendiri.
Pihak universiti sama ada universiti awam mahupun swasta di Malaysia telah mewujudkan dan menguatkuasakan sebaiknya undang-undang berkenaan plagiarisme dan makluman tentang kesalahan dan kesan negatifnya kepada semua pensyarah dan pelajar. Tindakan plagiarisme sebegini boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 6, Kaedah-kaedah Universiti (Tatatertib Pelajar Tahun 1999) di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Pastikan dalam buku panduan akademik di setiap universiti mengandungi maklumat dan kaedah penulisan sumber rujukan atau bibliografi yang tepat sebagai cara mencegah dan menangani sebarang jenayah plagiarisme. Hanya dengan cara memberi pengiktirafan terhadap pemilik karya asal, barulah cedukan idea dan frasa-frasa tertentu dari karya asal tersebut dianggap ‘halal’ dalam konteks penulisan akademik.
Pihak pengurusan fakulti boleh mengaplikasikan perisian komputer atas talian yang dapat mengesan sebarang aktiviti plagiarisme dalam penulisan tesis atau tugasan pelajar. Perisian-perisian seperti ini diaplikasikan oleh kebanyakan universiti di seluruh dunia yang digunakan secara meluas dalam menangani isu plagiarisme dalam penulisan akademik oleh pelajar. Misalnya, perisian-perisian komputer seperti Turnitin, Scan My Essay dan Word Check System cukup komprehensif dan efektif dalam menemukan sebarang unsur plagiarisme dalam tesis dan penulisan akademik secara atas talian.
Para pensyarah berperanan untuk membimbing akan konsep plagiarisme kepada para pelajar bukan sekadar dalam penulisan tesis, bahkan dalam tugasan, laporan mingguan, pembentangan, dan sebagainya. Seeloknya setiap pelajar perlu dilatih tentang bagaimana kaedah penulisan akademik yang baik dengan menggabungkan idea-idea sendiri dan idea-idea daripada pelbagai sarjana dalam bahan rujukan yang lain. Mereka harus dilatih menggunakan aras pemikiran tinggi iaitu kebolehan menganalisis secara kritikal. Para pelajar perlu diterangkan tentang peri pentingnya kaedah penulisan rujukan yang tepat sebagai usaha menghargai para penulis bahan-bahan yang dimuatkan di dalam tugasan akademik para pelajar tersebut. Pensyarah juga perlu tegas mengambil tindakan terhadap pelajar yang masih degil membuat tugasan akademik secara plagiat sama ada meminta pelajar mengubahsuai tugasan tersebut atau melaporannya kepada pihak universiti.
Para pelajar pula bertanggungjawab dalam menghasilkan sebarang penulisan akademik atau tesis yang tidak mengandungi unsur plagiarisme. Setiap universiti mempunyai buku panduan penulisan akademik dan mereka perlu menuruti semua sistem dan disiplin penulisan yan telah ditetapkan. Pelajar perlu sedar bahawa penulisan akademik adalah satu usaha universiti untuk mengasah dan menyerlahkan tahap kebolehan akademik mereka sendiri. Jadikanlah penulisan akademik sebagai sumber terbaik untuk menyerlahkan daya pemikiran dan keintelektualan. Apalah ertinya kepuasan dalam usaha penulisan akademik andai seseorang pelajar itu mendapat ‘A’ dalam penulisan tugasan atau tesisnya, tetapi ia bukan secara mutlaknya hasil karya pelajar tersebut dan diplagiat dari sumber-sumber lain.
Sekiranya kesemua pihak yang disebutkan di atas secara serius mengambil langkah sewajarnya dalam membendung gejala plagiarisme, adalah diyakini bahawa kemurnian dunia penulisan akademik akan dapat disuburkan. Bahkan, jika ditelusuri dari aspek moral dan keagamaan pun, plagiat adalah satu kesalahan yang serius dan boleh mengundang dosa. Untuk itu, janganlah kita sewenang-wenangnya memplagiat hak milik orang lain. Andai suatu hari nanti kita terjumpa hasil penulisan akademik kita diplagiat dan dirompak oleh orang lain dan ianya dijadikan satu bahan yang dikomersialkan serta mendapat untung, apa agaknya perasaan kita pada masa itu?
Dr. Khairunneezam Mohd Noor
Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.