Home Politik Pejabat saya tak boleh tolak orang ramai datang, tak sampai hati ...

Pejabat saya tak boleh tolak orang ramai datang, tak sampai hati – Syed Saddiq

Orang ramai beratur panjang di luar pejabat Parlimen Muar bagi mendapatkan bantuan.

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Abdul Rahman meminta pihak-pihak tertentu jangan menambah beban rakyat di Parlimen Muar yang datang beratur ke pejabatnya untuk mengambil bantuan.

”Kompaun saya tak apa. Pejabat itu di bawah kawal selia saya. Urusan bantuan makanan ini pun urusan saya dan pejabat saya,” katanya dalam hantaran di Facebook lewat malam tadi.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, pejabatnya itu telah diarahkan tutup mulai hari ini selepas dua hari beliau mengagihkan bantuan makanan kepada 5,000 keluarga di Muar.

Katanya, biasanya ada dalam lebih 150 keluarga datang setiap hari tapi sejak dua hari lepas, jumlah keluarga yang datang telah bertambah.

”Orang sedang susah, lapar dan sakit. Mereka wajib dibantu.

”Pejabat saya tak boleh tolak orang yang mahu datang. Nak suruh mereka pulang sebab orang ramai, tak sampai hati. Rakyat Parlimen Muar adalah tanggungjawab saya,” ujar Syed Saddiq.

 

Anggota RELA mengawal orang ramai yang hadir di pejabat Parlimen Muar.

Memandangkan ramai yang datang, pejabat Parlimen Muar menyediakan 100 kupon setiap hari untuk 100 keluarga mengambil bantuan makanan.

Malah, RELA digunakan untuk mengawal situasi di luar pejabat.

Selain itu surat memohon polis membantu orang ramai yang dihadir juga telah dibuat.

”Saya juga sudah agihkan sejumlah bantuan makanan kepada semua ketua kampung untuk agihkan di kawasan masing-masing. Had jumlah pengunjung ke dalam pejabat juga kami buat. Yang lain, perlu beratur dengan jarak sesuai di luar pejabat.

”Tapi hakikatnya ramai lagi yang perlukan bantuan makanan segera. Saya tidak boleh dan tak akan sesekali halang rakyat Parlimen Muar untuk datang ke pejabat.

”Tapi hari ni, pihak polis juga datang dan arahkan Pejabat Parlimen ditutup. Orang terlalu ramai,” tambah beliau.

Syed Saddiq yang kecewa dengan arahan penutupan pejabatnya berkata, langkah itu akan menyebabkan bantuan makanan akan lambat sampai ke tangan penerima walaupun agihan dari rumah ke rumah telah dibuat.

”Realitinya, ramai lagi rakyat Parlimen Muar yang susah, lapar dan sakit. SOP memang dipatuhi, tetapi saya memang tidak boleh kawal jumlah penerima yang datang ke pejabat,” ujarnya. – MalaysiaGazette