SEMENJAK pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kali ke-3 (PKP 3.0) bagi mengawal penularan wabak COVID-19 sehingga kini, keadaan masyarakat di Malaysia digambarkan di dalam laporan media massa begitu terkesan dari pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial, psikologi, pendidikan dan sebagainya.
Ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia yang terjejas sumber pendapatan akibat kehilangan pekerjaan dan juga sekatan ekonomi yang berlaku akibat pelaksanaan PKP 3.0 ini, khususnya golongan B40 yang berpendapatan rendah.
Keperitan dan kesukaran ini sedikit terubat dengan bantuan-bantuan yang diberikan oleh orang perseorangan, selebriti, pendakwah dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sewajarnya usaha dan kempen kedermawanan bagi membantu golongan yang terjejas dan memerlukan dipertingkatkan serta diperluaskan dalam kalangan masyarakat.
Islam sangat menganjurkan sifat kedermawanan dalam membantu masyarakat dari aspek kemampuan kewangan. Sifat kedermawanan tersebut boleh dizahirkan melalui amalan bersedekah.
Sedekah mempunyai maksud yang sangat luas dalam Islam, iaitu sebagai pemberian oleh seseorang kepada orang lain yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, sama ada pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, sanak-saudara, mahupun untuk kepentingan agama (fi sabilillah). Malah, sedekah juga dianjurkan untuk diberikan kepada orang bukan Islam dan juga haiwan.
Saranan bersedekah dianjurkan oleh Allah SWT dalam surah al-Hadid dalam ayat ke-18 iaitu “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka yang memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.”
Sedekah dalam konteks harta yang diberikan boleh dibahagi kepada dua bahagian iaitu sedekah wajib dan sedekah sunat. Sedekah wajib ialah zakat harta dan zakat fitrah. Manakala sedekah sunat pula ialah hadiah, wakaf, hibah, wasiat, pelepasan hutang dan pengguguran hak.
Solusi terhadap permasalahan yang dihadapi oleh golongan masyarakat yang terjejas dan memerlukan bantuan ini boleh dibudayakan melalui instrumen sedekah yang pelbagai dalam Islam.
Pertama, zakat adalah suatu pemberian yang wajib dilakukan ke atas sebahagian harta kekayaan yang telah mencukupi syarat serta dimiliki oleh individu Muslim kepada golongan asnaf yang telah ditetapkan oleh syarak.
Dana zakat boleh membantu golongan fakir, miskin, muallaf, al-gharimin (orang berhutang), fisabilillah (pelajar), al-riqab (orang terbelenggu) yang telah terjejas akibat PKP 3.0 ini melalui pelbagai skim bantuan yang telah disediakan oleh pihak institusi-institusi zakat di Malaysia.
Kedua, wakaf pula adalah amalan penyerahan harta yang bersifat kekal dan dimiliki untuk kegunaan atau manfaat orang ramai. Selain dapat meringankan beban penerima wakaf, pewakaf turut mendapat ganjaran pahala yang berterusan selagi dimanfaatkan harta tersebut. Wakaf boleh dilaksanakan melalui pemberian seperti alat pembelajaran seperti komputer riba, telefon pintar, ‘tablet’ dan sebagainya untuk golongan yang memerlukan.
Ketiga, sedekah, infak dan hadiah memiliki makna yang hampir sama iaitu pemberian secara sukarela kepada seseorang. Infak lazimnya merujuk kepada pemberian untuk menegakkan agama Allah SWT. Manakala sedekah dan hadiah berbeza dari sudut tujuan iaitu sedekah adalah pemberian untuk mendapatkan pahala dan hadiah adalah pemberian untuk menghargai seseorang.
Pemberian pakej pelbagai makanan asasi adalah contoh sedekah, infak dan hadiah yang boleh dilaksanakan dalam situasi PKP 3.0 bagi memastikan kelangsungan hidup sesebuah keluarga yang terjejas sumber pendapatan.
Keempat, hibah pula adalah pemberian hak milik kepada orang lain secara sukarela. Hibah ini boleh dilaksanakan melalui pemberian peralatan atau kemudahan yang masih lagi baik kepada orang lain secara percuma.
Demikianlah, terdapat pelbagai instrumen kedermawanan yang dianjurkan oleh Islam dalam membantu kebajikan golongan yang terjejas sumber pendapatan akibat pelaksanaan PKP 3.0.
Sewajarnya setiap masyarakat Malaysia berganding bahu dalam membantu dan mendepani cabaran pandemik COVID-19. Pemberian sumbangan boleh dilaksanakan secara peribadi atau melalui aktivis sukarelawan kepada orang yang berhampiran atau pun berjauhan.
R. Azri Bhari
Pakar Rujuk,
Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF),
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor.