Home Politik Rakyat mahu lihat kebersamaan semua parti politik

Rakyat mahu lihat kebersamaan semua parti politik

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Alangkah baiknya jika semua parti dan ahli politik dapat berkongsi semangat kebersamaan dalam mendepani pandemik Covid-19.

Pada masa ini seharusnya semua parti mengenepikan perbezaan dan mendahulukan keperluan rakyat.

Ketua Penerangan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, masa untuk bersaing dalam arena politik akan tiba pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sekarang, kita semua tumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dahulu. Langkah kerajaan memberi peruntukan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti adalah permulaan yang baik.

“Semua wakil rakyat perlu memainkan peranan membantu rakyat. Kita tolak tepilah kluster mahkamah yang ada agenda peribadi.

“Saya yakin rakyat nampak sifat hipokrit mereka yang terdesak mempergunakan jentera politik untuk selamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, pada masa sekarang langkah terbaik adalah menangguhkan persaingan politik, dan bersama-sama membela rakyat dan membina ekonomi.

“Di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ada 14 parti. Daripada 14 parti itu, Ketua-Ketua Penerangan daripada 13 parti bermesyuarat setiap minggu.

“Kami mendengar penerangan daripada menteri-menteri dan ahli-ahli akademik. Antaranya, kami telah mendengar pembentangan daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jalamuddin Abu Bakar, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Selain mendengar pembentangan daripada menteri, kami juga memberi cadangan kepada mereka iaitu menjaga rakyat dan bina ekonomi,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, pada masa ini semangat kebersamaan dilihat wujud di antara kelompok majoriti dalam kerajaan PN.

“Inilah sebenarnya dikehendaki oleh rakyat. Semua pihak berhenti bertelagah, dan tumpu kepada usaha memerangi Covid-19.

“Sudah banyak kali disebut, jika orang politik terus bertelagah, rakyat akan muak dengan semua ahli politik secara keseluruhan walaupun sebenarnya yang bermasalah hanya satu kluster kecil sahaja,” katanya.

Minggu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan itu, semalam tular satu audio rakaman yang dipercayai suara Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Video berdurasi 15 minit itu dirakam semasa mesyuarat parti itu minggu lalu yang terkejut dengan keputusan Ahmad Zahid yang membuat keputusan lain daripada perbincangan asal. – MalaysiaGazette