KUALA LUMPUR – Kerajaan dituntut untuk menilai semula strategi semasa dan keperluan strategi baharu yang lebih bersesuaian dan berkesan susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 walaupun negara dalam tempoh darurat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan penuh.
Ini kerana rakyat tidak boleh selama-lamanya dikurung dan disekat tanpa sebarang perancangan jangka panjang yang jelas dan strategik.
Untuk itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sains sepatutnya dijadikan asas utama kepada keputusan dan ketetapan yang dibuat kerana kita akan melihat beberapa perkara yang berbeza.
Antaranya, perbezaan prosedur/kelonggaran kepada mereka yang sudah menerima suntikan satu dan dua dos vaksin, mereka yang sedang menunggu suntikan dan mereka yang langsung tidak mendaftar untuk vaksinasi.
”Sudah tentulah setiap satu kelompok ini mempunyai risiko dan tahap kebolehjangkitan dan imunisasi yang berbeza. Dalam hal ini kita boleh hadir dengan ketetapan seperti mengenakan syarat kuarantin di rumah kepada mereka yang sudah mempunyai dua dos lengkap apabila pulang dari luar negara berbanding kuarantin 14 hari di pusat khas yang dikenakan secara pukul rata kepada semua kelompok,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, pendekatan ini selain mengurangkan kepadatan pusat kuarantin, yang demikian akan memberikan beberapa mesej jelas secara tidak langsung.
Antaranya, keputusan dan ketetapan yang kita lakukan adalah bersandarkan sains dan garis panduan perubatan, kerajaan memberi insentif yang sewajarnya, sekali gus meyakinkan lebih ramai masyarakat untuk terus mendaftar dan mendapatkan vaksin.
Selain itu, membolehkan ekonomi bernafas beransur-ansur tanpa perlu menunggu hanya selepas 70%-80% populasi divaksin dan mencapai imuniti berkelompok untuk kembali beroperasi.
Pada masa yang sama, masyarakat akan lebih jelas dengan cara kerajaan membuat keputusan bersandarkan sains dan garis panduan perubatan.
”Bukan tahap atau status ekonomi, jawatan dan pengaruh atau pertimbangan-pertimbangan lain yang kabur dan tidak adil,” katanya.
Tegasnya, kerajaan mesti merancang untuk mengembalikan kehidupan dan operasi ekonomi dengan teliti dan berhati-hati.
Pendekatan melihat jumlah kes positif harian semata-mata tidak mencukupi.
”Benarlah. Jika kita gagal merancang, kita merancang kegagalan,” ujarnya. – MalaysiaGazette