Home Nasional 12 peratus penduduk Selangor telah terima dua dos vaksin – MB

12 peratus penduduk Selangor telah terima dua dos vaksin – MB

Pekerja sektor pembuatan menerima suntikan vaksin di tapak pusat pemberian vaksin (PPV) di bawah program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2.3 juta dos vaksin telah diberikan kepada rakyat Selangor menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat ini, jumlah tertinggi bagi sesebuah negeri di Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari  berkata, ia tidak termasuk Program Vaksin Selangor (SelVAX) yang mencatat pemberian 57,339 dos

“Manakala, 12% rakyat Selangor telah lengkap menerima 2 dos.

“Alhamdulillah, kadar vaksinasi harian semalam telah mencecah 114,416 dos, tidak termasuk dengan Program SelVAX yang sedang giat diperluaskan dan telah mencecah pemberian hampir 58,000 dos sejak dimulakan,” katanya menerusi akaun Twitter hari ini.

Daripada 11,618 kes positif baharu Covid-19 yang direkodkan di seluruh negara semalam, sebanyak 5,051 kes adalah daripada Selangor.

Selain itu, Selangor mencatatkan 46 kes kematian daripada 118 kes yang dicatatkan semalam.

Menurut Amirudin, kadar vaksinasi di negeri itu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, beliau memberitahu, peratus penggunaan vaksin di Selangor adalah 78 peratus berdasarkan bekalan yang diterima daripada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Tambahnya, baki vaksin berjumlah 618,000 dos telah diberi temu janji untuk tempoh tujuh hari dengan mengambil kira jumlah vaksinasi harian yang kini mencecah 115,000 dos. – MalaysiaGazette