KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan menyifatkan aksi persahabatan yang telah diharungi pada Isnin lalu sudah cukup untuk menilai sejauh mana kualiti anak buah sebelum mengharungi perlawanan tertunda Liga Premier menentang Selangor FC 2, esok.
Jelasnya, banyak kelemahan yang perlu diperbaiki selepas berakhir aksi persahabatan berdepan Kuala Lumpur City FC di mana punca utama adalah daripada aspek kecergasan apabila sudah lama tidak mengharungi perlawanan sebenar sejak Liga Malaysia berehat pada Mei lalu.
Justeru, tempoh lima hari yang ada sejurus berakhir perlawanan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk beliau melakukan beberapa perubahan sebelum berdepan aksi sebenar, Sabtu ini di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Elavarasan juga mengakui menentang Selangor FC 2 pastinya tidak mudah dan ia akan menjadi pertarungan yang sukar dijangka apatah lagi selepas dengan rombakan pemain yang dilakukan oleh semua pasukan ketika ini.
“Disebabkan kita sekarang pun berlatih dalam Camp Based dan berada dalam gelembung sukan, jadi memang banyak kita boleh nilai dekat mana kelemahan memandangkan kami semua tinggal sama-sama.
“Kita pula hanya sempat merancang satu perlawanan persahabatan sahaja pada Isnin lalu, dan selepas itu hanya ada masa lima hari untuk perbaiki balik kekurangan yang ada selepas aksi tersebut.
“Bagi saya, pemain-pemain masih belum bersedia sangat ketika menentang Kuala Lumpur, jadi banyak yang saya perlu ubah untuk berdepan aksi pada Sabtu ini.
“Selangor 2 juga bukan pasukan yang mudah dan kita perlu waspada dengan pemain-pemain muda yang mereka ada”, jelasnya.
Perlawanan persahabatan tersebut menyaksikan pasukan ini seri 2-2 dengan Kuala Lumpur.
Bekas pengendali PKNS FC ini turut menggesa barisan pemain untuk tidak mengambil mudah setiap perlawanan selepas ini bagi memastikan mereka dapat terus kekal di tangga teratas Liga Premier.
Ini kerana, jurang mata dengan pasukan lain tidak terlalu jauh dan sedikit kesilapan akan memberi ruang lawan untuk merampas takhta liga dalam tempoh terdekat.
“Memang saya tekankan kepada pemain untuk lebih serius selepas ini kerana kita sudah berada di atas, jadi bukan senang untuk kekalkan kedudukan.
“Pasukan lain juga tidak jauh beza dengan kita, hanya membezakan satu atau dua mata sahaja, jadi bila-bila masa kedudukan liga itu boleh berubah.
“Cuma saya nak ambil peluang berterima kasih kepada semua termasuk pihak Kerajaan yang terlibat untuk membenarkan kita teruskan latihan dan kita dapat juga meneruskan saingan Liga Malaysia ini,” tambahnya.
Kedudukan terkini menyaksikan mereka berada di tangga teratas dengan 23 mata diikuti Negeri Sembilan FC di tempat kedua manakala Terengganu FC II di kedudukan ketiga. – MalaysiaGazette