Home Nasional Elak beroperasi semula, bekalan elektrik enam premis judi dipotong

Elak beroperasi semula, bekalan elektrik enam premis judi dipotong

Pihak polis bersama TNB melakukan kerja-kerja memotong bekalan elektrik premis yang menjalankan kegiatan perjudian haram di sekitar daerah Seberang Perai Utara hari ini.

SEBERANG PERAI – Gara-gara menjalankan aktiviti perjudian dan loteri haram, enam premis sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini dipotong bekalan elektrik hari ini.

Operasi pemotongan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula jam 10.30 pagi hingga 1 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemotongan bekalan elektrik itu dilakukan di sekitar Butterworth (1), Telok Air Tawar (2); Tasek Gelugor (2) dan satu di Kepala Batas.

Noorzainy.

“Kesemua premis tersebut dikesan menjalankan aktiviti perjudian dan loteri haram dan bagi mengekang kegiatan haram itu berulang kita ambil tindakan pemotongan bekalan elektrik.

“Pihak polis beri amaran kepada pemilik premis perniagaan tidak menyalahguna lesen perniagaan yang diberikan untuk menjalankan kegiatan haram,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pihak polis bersama TNB melakukan kerja-kerja memotong bekalan elektrik premis yang menjalankan kegiatan perjudian haram di sekitar daerah Seberang Perai Utara hari ini.

Tambah Noorzainy, kesemua premis itu dikenakan tindakan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – MalaysiaGazette