Home Pendapat Ibu dan adik saham akhirat saya – Ibu tunggal

Ibu dan adik saham akhirat saya – Ibu tunggal

S Deva dan Michael Tay menyerahkan bantuan kepada Belinda.

Johor Bahru – “Ibu dan adik lelaki adalah saham akhirat saya. Alhamdulillah sehingga kini saya terpilih untuk menjaga dan dan memenuhi keperluan mereka sekadar yang mampu,” kata seorang wanita, Belinda Abu Bakar, 44.

Belinda berkata, ibunya, Saadiah Omar, 68, lumpuh bahagian kanan badan akibat serangan angin ahmar pada 2005.

Sementara, adik lelakinya, Kamaruddin, 30, adalah orang kurang upaya (OKU) kategori autisme yang memerlukan penjagaan sepanjang masa kerana kerap diserang sawan dan berkelakuan agresif.

Belinda yang juga ibu tunggal berkata, walaupun dia mempunyai adik beradik lain, namun dalam keadaan sekarang ada di antara mereka yang lebih susah.

Katanya, sepanjang pandemik Covid-19, dia juga tidak terkecuali berdepan pelbagai cabaran getir apabila kilang membuat alat permainan, tempatnya bekerja tidak dibenarkan beroperasi sejak Mei lalu.

Berikutan itu dia hanya menerima separuh gaji iaitu RM645 sebulan.

“Keadaan ini menyebabkan kehidupan kami sekeluarga terus terhimpit dan ada masanya kami terputus bekalan makanan dan hanya makan nasi berlaukkan telur goreng.

“Mujur anak sulung perempuan berusia 20 tahun bekerja sebagai pembantu klinik di Jalan Tebrau dan buat masa ini dia membantu membayar bil utiliti manakala anak bongsu lelaki saya masih belajar di tingkatan tiga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Beliau ditemui ketika menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur dan sejumlah wang tunai yang disampaikan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Johor, Michael Tay.

Hadir sama, Penyelaras MIC Dun Permas N43 merangkap Ketua Penerangan MIC Johor, S Deva.

Belinda yang sudah bercerai 2017 berkata, dia dan keluarganya juga terpaksa bergantung kepada sumbangan kenalan sepanjang pandemik Covid-19.

Menurutnya, keluarganya menerima bantuan Baitulmal sejumlah RM400 sebulan dan RM250 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya bersyukur kerana diberi kesihatan baik untuk menjaga adik dan ibu serta berdoa agar mereka diberi kesembuhan,” katanya. – MalaysiaGazette