Home National Kontena tempat tujuh beranak berteduh

Kontena tempat tujuh beranak berteduh

Azrul bersama lima anaknya terpaksa tinggal di kontena setelah tidak mampu membayar sewa rumah ekoran ditipu seorang lelaki

JOHOR BARHU – Ibarat ‘Sudah jatuh ditimpa tangga,’ Azrul Maskat yang diminta keluar dari rumah kerana tidak membayar sewa, manakala upah berjumlah lebih RM2,000 bagi kerja-kerja rencam yang dilakukan tidak dibayar pelanggannya.

Episod duka Azrul dan isteri, Junaidah Abd Samad berlarutan apabila mereka bersama lima orang anaknya berusia 13 hingga lima tahun terpaksa berhimpit di dalam kontena di Kampung Baru Seri Aman, Jalan Kempas Lama Tebrau, di sini, sejak setahun lalu.

Kata Azrul, dia dan keluarga tinggal di kontena berkenaan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu kerana tidak mampu membayar sewa rumah sebanyak RM200 sebulan berikutan ditipu seorang lelaki yang juga rakannya yang berjanji akan membayar upah setelah semua kerja yang dilakukannya itu selesai.

“Sebelum ini saya sewa di Kampung Sri Aman, dalam PKP pertama saya tidak bayar sewa selama dua bulan dan saya (diminta) keluarkan daripada rumah sewa itu.

“Saya kerja tukang kampung, buat tandas untuk tukang rumah jikalau tiada kerja saya mesin rumput atau servis motor kawan-kawan untuk tampung pendapatan,” katanya yang redha dengan nasib yang menimpanya ketika ditemui di sini.

Tambah Azrul, beliau tidak meminta upah yang dijanjikan daripada pelanggannnya itu kerana tahu akan dimaki dan dihamun.

Walaupun pelanggannya itu pernah menghantar pesanan ringkas: “‘Saya tidak akan makan duit orang susah” namun sehingga kini upahnya masih tidak dibayar.

 

Menurut Azrul, hati bapa mana yang tidak tersentuh melihat anak-anak yang sepatutnya membesar dalam keadaan selesa terpaksa mengharungi kehidupan yang sukar seperti hari ini.

“Untuk saya, saya akan pergi tetapi untuk mereka, mereka kena teruskan.

“Saya fikir kesenangan dia orang, pembelajaran mereka tidak macam orang lain tetapi saya diberi ketabahan menghadapi semua ini,” ujarnya.

Tambah Azrul, sejak ditipu rakannya pasangan suami isteri yang berusia 36 tahun itu kian buntu, namun beliau masih bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik untuk bekerja.

Bagaimanapun, jelasnya, masih ada insan yang mempunyai belas kasihan dengan membenarkan keluarga itu berteduh daripada panas dan hujan di dalam kontena yang terletak di atas tanah milik lelaki berkenaan.

Sebagai ketua keluarga, Azrul tidak pernah berpeluk tubuh mengharapkan bantuan orang lain, sebaliknya dia terus berusaha mencari rezeki dengan membaiki motorsikal selain mengambil upah memotong rumput.

“Saya tidak kisah melakukan apa sahaja pekerjaan demi mendapatkan sedikit wang untuk membeli makanan supaya anak- anak tidak kelaparan.

“Pernah terjadi, selama seminggu saya tidak dipanggil untuk melakukan kerja-kerja kampung, ketika itu hanya nasi goreng kosong menjadi santapan kami sekeluarga selama seminggu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun keadaan kontena yang sempit dan panas menyebabkan anak-anak tidak berasa selesa namun mereka seolah-olah memahami keperitan yang dialaminya, malah Jnaidah tidak pernah merungut.

Malah jika hujan, air akan memasuki kontena kerana bocor, katanya.

“Melihat anak- anak yang masih kecil dan masih belum faham dengan kesusuhan ini membuatkan saya dan isteri cukup sedih.

“Sebab itu, kami merasakan perlu juga cari rumah yang lebih selesa untuk anak-anak,” katanya sambil menambah beliau terharu dengan keprihatinan orang ramai yang tidak putus-putus memberi sumbangan barangan keperluan dan makanan sejak kisahnya yang tinggal di dalam kontena tular di media sosial kelmarin.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil maklum kesusahan yang dihadapi Azrul dan keluarganya yang menetap di dalam kontena.

Jelas beliau, pihaknya akan menemui keluarga berkenaan dalam waktu terdekat untuk mendapatkan maklumat selain melakukan proses pemindahan rumah untuk keluarga tersebut ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran.

” Saya akan segera bertemu keluarga Azrul untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya memberikan bantuan yang diperlukan termasuk rumah,” katanya. – Malaysiagazette