Home Nasional Lebih 145,000 ‘rider’ Grab dan Foodpanda dilindungi Perkeso

Lebih 145,000 ‘rider’ Grab dan Foodpanda dilindungi Perkeso

Penghantar makanan e-hailing memasukkan makanan sebelum dihantar ke pelanggan sempena bulan ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sunway Putra, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Lebih 145,000 penghantar barangan dan makanan yang menggunakan motosikal, basikal atau berjalan kaki dan juga rakan penghantar di seluruh negara kini dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas Grab Malaysia dan Foodpanda mendaftarkan hampir kesemua rakan penghantar mereka di bawah program SPS Lindung.

Program yang dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara Perkeso dan platform penyedia perkhidmatan ini merupakan satu lagi pendekatan proaktif dalam merealisasikan hasrat Kerajaan untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) termasuk para rakan penghantar ini.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohamed Azman Datuk Aziz Mohammed berkata, bagi memastikan golongan ini dilindungi dan menggalakkan mereka mendaftar, kerajaan melalui SPS Lindung, menyediakan bantuan berbentuk pembiayaan penuh caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pelan 2 iaitu sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun.

“Mengambil kira perubahan ekonomi dan permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan sektor ekonomi gig terutamanya ketika tempoh penularan Covid-19, perluasan perlindungan kepada golongan rakan penghantar ini merupakan satu langkah wajar bagi menjaga kebajikan mereka yang terdedah dengan risiko aktiviti pekerjaan terutamanya ketika di jalan raya,” katanya menerusi kenyataan.

Selaku peneraju di kalangan 133 platform penyedia perkhidmatan di Malaysia, Grab Malaysia dan Foodpanda merupakan dua platform pertama yang tampil menyahut seruan tersebut dan hasilnya, para rakan penghantar di bawah naungan mereka kini dilindungi Skim Bencana Pekerjaan di bawah SKSPS.

Menurutnya, Langkah ini juga bertepatan dengan seruan Kerajaan agar pekerja sektor informal tidak tersisih daripada perlindungan keselamatan sosial, sama seperti pekerja dalam sektor formal.

Mohamed Azman menyeru agar penyedia perkhidmatan platform seperti Grab dan Foodpanda akan turut bekerjasama dengan Perkeseo dalam masa akan datang.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Grab Sean Goh berkata, pihaknya komited untuk menyediakan keselamatan penghantar makanan di bawahnya.-MalaysiaGazette