Home Nasional Orang Asli tunggu bantuan wakil rakyat

Orang Asli tunggu bantuan wakil rakyat

Pengerusi Wanita Gegar Malaysia, Nurul Shater menyampaikan barangan keperluan asas kepada penduduk orang asli di Batu 16, Gombak, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2021.

GOMBAK – Penduduk Orang Asli yang mendiami kawasan pedalaman di Batu 16 di sini turut merasai kesan pandemik apabila mereka hilang pekerjaan dan pendapatan sejak lebih setahun lalu.

Salah seorang daripadanya, Zailani Musa, 39, yang terpaksa berhenti daripada melakukan kerja-kerja pembinaan sejak setahun lalu dan kini hanya bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Zailani Musa. Foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2021.

Namun, bantuan daripada Pejabat Khidmat Parlimen Gombak masih tidak kunjung tiba sejak PKP 3.0 dilaksanakan sejak bulan lalu.

“Setakat ini memang tak ada lagi daripada mana-mana wakil rakyat (beri bantuan) kerana itu kita rasa terpinggir. Kadang-kala kita dengar bantuan dari luar banyak tapi bila tak sampai ke sini (perkampungan Orang Asli).

“Setakat ini hanya JAKOA ada bagi bakul makanan tapi daripada pihak-pihak lain memang tiada,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Zailani tidak menafikan dia dan lebih 70 orang asli di situ sangat terkesan dengan PKP apatah lagi kediaman mereka jauh di pedalaman.

Seorang penduduk orang asli membawa barangan keperluan asas yang diberikan oleh NGO Gegar Malaysia di Batu 16, Gombak, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2021.

“Kita berharap mana-mana pihak di luar sana sama ada wakil rakyat ataupun NGO kalau boleh bantu kami tak kira di mana-mana saja lah masyarakat kita berada di Malaysia.

“Kita sekarang ini dalam pandemik jadi susahlah, nak-nak pula kita ini, kami di pedalaman agar sukar lah untuk keluar,” katanya.

Zailani tidak menafikan masyarakat Orang Asli sangat memerlukan bantuan bukan sahaja barang keperluan asas bahkan juga kewangan.

“Ya, kita memang memerlukan bantuan kewangan, kalau ada makanan tapi kalau tiada gas untuk memasak, nak beli gas perlu duit.

“Kita memang perlu bantuan kewangan, kalau tiada duit macam mana kita nak beli apa-apa barang. Kalau kita ada beras tapi dapur tak ada gas, macam mana kita nak masak?” soalnya.

Bagi Low Sok Yen, 36, dia mengakui sudah lama penduduk Orang Asli di situ tidak mendapat bantuan daripada wakil rakyat dan pemimpin tempatan.

Low Sok Yen. Foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2021.

“Sebelum ini ada orang bagi bantuan daripada orang Islam (Lembaga Zakat Selangor), lepas itu JAKOA. Kami juga terkesan sebab tak ada kerja, nak kerja pun susah, nak keluar beli barang pun susah.

“Saya harap pada sesiapa lah kalau boleh bagi kami bantuan kerajaan atau bantuan penyakit Covid-19. Kalau tidak memang susah kami. Sekarang ini nak jual durian RM500 pun susah dapat, dulu boleh dapat RM1,000 setiap kali berniaga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette