Home Nasional PKP, alat ganti lambat tiba punca kelewatan baiki lif PADR

PKP, alat ganti lambat tiba punca kelewatan baiki lif PADR

Semua 67 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka mendapat lif baharu dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Alat ganti lambat tiba dari China dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara punca kerja baik pulih lif Perumahan Awam Desa Rejang (PADR) tertangguh.

Ejen pengurusan perumahan awam itu, IM Global Property berkata, ia menyebabkan usaha membaiki kemudahan awam itu tidak dapat dilakukan segera walaupun arahan berbuat demikian telah diberikan sejak Mei lalu.

Bagaimanapun kerja baik pulih 23 lif di PADR  dijangka selesai sebelum atau pada 22 Ogos ini melibatkan kerja pembaikan fasa satu.

Manakala fasa kedua pula bakal melibatkan 11 buah lif lagi, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut syarikat berkenaan, tugas menyelenggara lif di PADR adalah di bawah tanggungjawab Dong Yang Elevator (M) Sdn Bhd (Dong Yang) yang dilantik oleh IM Gobal sejak 1 November 2019.

“Pembelian alat ganti seperti main sheave, secondary sheave, car buffer dan counterweight perlu dipesan daripada China memandangkan untuk alat ganti tersebut hanya terdapat di republik berkenaan.

“Proses penghantaran alat ganti dari China ke Malaysia memakan masa yang panjang, PKP, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang menyebabkan beberapa sektor perlu ditutup,” kata IM Global lagi.

Mengulas lanjut ejen pengurusan berkenaan berkata, penghantaran alat ganti lif hanya dapat dibuat pada 13 Julai lalu walaupun telah tiba di pelabuhan negara ini sejak 5 Julai.

Ujarnya, ini berikutan kelulusan yang baharu diterima daripada pihak berkuasa.

Justeru, IM Global dan Dong Yang berharap supaya penduduk PADR bersabar dan memberi kerjasama agar kerja pembaikan dapat diselesaikan dengan segera.

Untuk rekod, IM Global Property Consultants Sdn Bhd telah dilantik sebagai ejen pengurusan oleh Pesuruhjaya Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkuatkuasa pada 1 Oktober 2019 berdasarkan peruntukan Seksyen 86, Akta Pengurusan Strata 2013.

Ejen Pengurusan itu kemudian melantik melantik Dong Yang Elevator (M) Sdn Bhd (Dong Yang) untuk menyenggara lif di PADR.

Semalam, penduduk di perumahan awam itu menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah campur tangan untuk menangani masalah kerosakan lif yang telah berlarutan hampir  dua tahun.

Pengerusi Persatuan Penduduk PADR Mohd Noor Md Tahir berkata, hanya satu lif sahaja beroperasi di setiap blok dan perlu menampung hampir 900 hingga 1,000 penduduk yang turun dan naik setiap hari.

Situasi itu katanya, mengakibatkan berlaku kesesakan setiap hari dalam masa yang sama meningkatkan risiko jangkitan Covid-19 kerana penduduk tidak dapat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam lif.

Dimaklumkan, terdapat 12 blok kediaman dan 1 blok tempat letak kereta bertingkat di PADR.

Unit kediaman di PADR adalah berjumlah 2,788 unit, manakala jumlah lif keseluruhan adalah sebanyak 38 unit lif yang mana terdapat 4 unit lif masing-masing di blok A dan blok B, dan 3 unit lif di lain-lain blok. -MalaysiaGazette

Penduduk Desa Rejang sengsara, 1 lif berkongsi 1,000 orang