Home Nasional Dera dua kanak-kanak: Pengasuh, suami dan anak saudara ditahan

Dera dua kanak-kanak: Pengasuh, suami dan anak saudara ditahan

Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Seorang pengasuh wanita serta suaminya ditahan selepas dipercayai mendera dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia dua dan tiga tahun di Taman Bukit Kempas di sini semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata wanita tempatan berusia 37 tahun dan suami 57 tahun itu ditahan selepas satu laporan diterima pihaknya pada 5.31 petang hari yang sama.

Turut ditahan seorang remaja perempuan yang merupakan anak saudara pasangan itu hari ini dekat Kota Tinggi.

Beliau berkata mangsa merupakan adik beradik dan kedua-duanya dipercayai didera pada 10 Jun lepas kira-kira 3 petang di rumah pengasuh terbabit.

“Pengasuh terbabit dipercayai mendera kedua-dua mangsa dengan cara memukul, menyepak dan memijak. Malah sebelum ini, mangsa juga pernah dilihat didera oleh pengasuh berkenaan dan ahli keluarganya,” menurut beliau dalam kenyataan hari ini.

Ayob Khan berkata susulan itu, ketiga-tiga individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata ibu bapa mangsa yang bekerja sebagai operator kilang dan tukang masak didapati telah menghantar kedua-dua beradik ke rumah pengasuh terbabit sejak 2018.

Katanya pemeriksaan kesihatan yang dilakukan ke atas mangsa oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah di sini mendapati mereka mengalami kecederaan tisu lembut dan dirawat di hospital sama.

Pengasuh dan suaminya direman selama tujuh hari bermula hari ini manakala remaja itu selama tiga hari atas faktor bawah umur dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.- BERNAMA