Home Nasional Kami sudah tunggu lama mahu vaksin – Warga emas

Kami sudah tunggu lama mahu vaksin – Warga emas

Warga emas, Siti Amun Md Amin, 85 (kiri) bersama anaknya, Abdul Razak Abdul Hamid, 60 (kanan) selepas hadir secara “walk in” untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2021.
Warga emas, Siti Amun Md Amin, 85 (kiri) bersama anaknya, Abdul Razak Abdul Hamid, 60 (kanan) selepas hadir secara “walk in” untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2021.

PETALING JAYA – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Petaling di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid (SPCC) di sini menjadi tumpuan warga emas apabila kerajaan membenarkan golongan itu untuk terus memasuki (walk-in) PPV bagi mendapatkan suntikan mulai hari ini.

Antaranya dua warga emas yang juga pasangan anak beranak, Siti Amun Md Amin, 85, dari Sri Serdang dan Abdul Razak Abdul Hamid, 60, dari Rawang yang datang serentak bagi mendapatkan dos pertama mereka.

Menurut cucu Siti Amun, Fatin Abdul Razak, neneknya yang beria-ia mahu mendapatkan vaksin namun terkilan kerana masih belum dapat tarikh temujanji.

“Kami tunggu nak dapatkan vaksin daripada April lagi. Kami tanya dia dan minta sama ada dia mahu atau tidak divaksin. Semuanya hari ini memuaskan dari masuk sampailah kami bawa keluar. Nenek saya memang nak divaksin,” kata Fatin.

Siti Amun yang datang bersama-sama anaknya Abdul Razak selesai divaksin dengan vaksin Pfizer kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

Warga emas, Siti Amun Md Amin, 85 (kiri) bersama anaknya, Abdul Razak Abdul Hamid, 60 (kanan) menunjukkan kad vaksinasi Covid-19 selepas hadir secara “walk in” untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2021.
Warga emas, Siti Amun Md Amin, 85 (kiri) bersama anaknya, Abdul Razak Abdul Hamid, 60 menunjukkan kad vaksinasi Covid-19 selepas hadir secara walk in untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2021.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, dia menunggu tarikh temujanji sejak April lalu namun masih belum dipanggil bagi mendapatkan vaksin.

Justeru kesempatan yang diberikan kerajaan untuk warga emas sepertinya hari ini untuk mendapatkan vaksin tanpa temujanji juga amat dihargai.

“Disebabkan hari ini kerajaan benarkan kami masuk terus, jadi saya ambik kesempatan untuk bawa ibu saya sekali untuk divaksin. Semua berjalan lancar dan perjalanan pun cantik.

“Pada permulaan itu menggigil juga kerana kami nampak jarum itu takut tapi tidak ada apa. Emak saya pun nampak sihat macam biasa.

“Kami bersyukur sangat untuk dapatkan vaksin hari ini, kami takut sebenarnya dijangkiti Covid-19 sebab banyak sangat kes positif yang berlaku sekarang,” katanya.

Warga emas, Evelyn Gomez, 68 (kiri) bergambar bersama suaminya selepas hadir secara “walk in” untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2021.
Warga emas, Evelyn Gomez, 68, (kiri) bergambar bersama suaminya selepas hadir secara walk in untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2021.

Bagi Evelyn Gomez, 68, pula, pelaksanaan secara walk-in  sepatutnya dibuat lebih awal lagi.

Jelasnya, langkah itu memudahkan golongan sepertinya untuk mendapatkan imunisasi bagi melawan penularan Covid-19 sekaligus mempercepatkan golongan warga emas menerima perlindungan.

“Saya sangat gembira dan idea ini amat baik oleh kerajaan. Ia amat menyenangkan warga emas untuk datang terutamanya untuk warga emas kurang upaya.

“Tempat ini amat bagus dan perjalanan untuk mendapatkan vaksin amat bagus, dan kakitangan sini sangat-sangat membantu dan sopan. Baguslah untuk dapatkan dos pertama, ia amat bagus dan sepatutnya dibuat lebih awal,” katanya selepas selesai menerima dos pertamanya hari ini.

Warga emas, Zainab Salleh, 72, menunjukkan kad vaksinasi Covid-19 selepas hadir secara “walk in” untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2021.
Warga emas, Zainab Salleh, 72, menunjukkan kad vaksinasi Covid-19 selepas hadir secara walk in untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2021.

Menurut Zainab Salleh, 72, dirinya segera ke PPV Petaling setelah mendapat tahu kerajaan telah membenarkan warga emas untuk mendapatkan vaksin tanpa temujanji.

Beliau teruja untuk mendapatkan vaksin dengan cepat memandangkan kes positif Covid-19 semakin meningkat mutakhir ini.

“Saya datang sendiri untuk dapatkan suntikan, tidak ada temujanji. Saya memang nak dapatkan suntikan vaksin, nak cepat-cepat dapatkan vaksin. Ini adalah tanggungjawab saya untuk diselesaikan.

“Saya dengar di televisyen bahawa kerajaan sudah benarkan warga emas untuk datang terus dapatkan vaksin,” katanya.

Malah beliau turut menasihatkan agar warga emas sepertinya untuk segera mendapatkan suntikan vaksin agar penularan Covid-19 dapat dibendung.

“Tidak ada apa pun, tak sakitlah. Jurusuntik itu cakap sudah disuntik. Sesiapa yang nak datang untuk dapatkan suntikan baik datang,” katanya yang akan mendapatkan suntikan keduanya pada 7 Ogos depan.

Warga emas, Azizah Ahmad, 67, menunjukkan kad vaksinasi Covid-19 selepas hadir secara “walk in” untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2021.
Warga emas, Azizah Ahmad, 67, menunjukkan kad vaksinasi Covid-19 selepas hadir secara walk in untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2021.

Turut berkongsi nada sama Azizah Ahmad, 67, yang  berpuas hati dengan proses mendapatkan vaksin hari ini.

Pada mulanya, beliau panik dengan jarum suntikan namun lega setelah semunanya berjalan lancar.

“Tidak sampai setengah jam sudah siap disuntik vaksin. Saya amat berpuas hati sebab saya dah lama tunggu untuk dapatkan vaksin. Saya amat berpuashati semua berjalan lancar.

“Saya mula panik juga tengok jarum panjang, tapi semuanya okay, sangat berjalan lancar. Mula takut masa nak suntik tapi tiba-tiba juru suntik cakap sudah suntik, saya gembiralah sekejap sangat,” katanya.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, warga emas yang belum mendapat janji temu boleh hadir secara terus atau ‘walk in’ di mana-mana PPV di Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata, warga emas iaitu individu berusia 60 tahun dan ke atas yang belum mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin juga boleh berbuat demikian. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Laluan mudah warga emas Lembah Klang suntik vaksin mulai esok – KJ