Home Nasional Kes Covid-19 yang serius tunjuk penurunan dengan pemberian vaksin – PM

Kes Covid-19 yang serius tunjuk penurunan dengan pemberian vaksin – PM

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata data pemberian vaksin setakat ini menunjukkan bahawa usaha pemberian vaksin telah berjaya menurunkan jumlah kes COVID-19 yang serius dengan ketara.

Katanya ini dapat dilihat dari jumlah kemasukan warga emas ke Hospital Sungai Buloh bagi kes positif kategori Empat dan Lima yang mencatatkan penurunan melebihi 50 peratus dalam tempoh sebulan lepas; dan kumpulan warga emas merupakan antara sasaran bagi Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kini impak positif pemberian vaksin ini mulai dapat dilihat,” katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.

Fasa 2 PICK yang bermula sejak 19 April lepas hingga Ogos melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain Orang Kurang Upaya.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata data sama ditunjukkan dalam kalangan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia, yang menerima vaksin lebih awal di Fasa 1 PICK.

“Didapati hanya 1.26 peratus dalam kalangan petugas KKM dijangkiti COVID-19 selepas lengkap divaksinasi. Sebanyak 99.8 peratus daripada mereka pula hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala dan tiada yang mengalami COVID-19 kategori lima,” katanya.

Perdana menteri berkata begitu juga di Labuan, yakni tempat varian Delta mula dikesan di negara ini; apabila selepas kerajaan mengambil tindakan segera menambah bekalan vaksin untuk pulau berkenaan, jumlah kes positif dan kematian akibat COVID-19 dapat dikurangkan dengan peningkatan kadar vaksinasi.

Katanya ini juga menjadi sebab tindakan segera diambil kerajaan di Kuala Lumpur dan Selangor dengan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti bagi menangani kenaikan kes positif yang mendadak.

Operasi itu diumum semalam oleh Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dengan objektif utama memastikan semua 6.1 juta populasi dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 menjelang 1 Ogos ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata penjelasan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa lebih 90 peratus kes positif COVID-19 di negara ini adalah dalam kategori satu dan dua, agak melegakan.

“Ini bermakna, kebanyakannya adalah tidak bergejala atau bergejala ringan yang mampu untuk pulih semula,” katanya.

Bagaimanapun katanya beliau telah mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya lebih bersedia untuk menerima kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital dan memberikan rawatan terbaik, memandangkan dunia sedang mencatatkan trend kenaikan kes COVID-19 dengan kemunculan varian baharu yang lebih ganas.

“Kita semua sedang berusaha untuk melawan COVID-19. Kita mesti sentiasa tabah dan cekal untuk terus lawan dan lawan. Insya-Allah, kita akan menang akhirnya,” katanya. – BERNAMA