Home Sukan Shakir Hamzah kembali ke Liga Premier Singapura

Shakir Hamzah kembali ke Liga Premier Singapura

Pemain Selangor FC, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi (kanan) cuba melepaskan tandukan namun dihalang pemain Perak FC, Muhammad Shakir Hamzah (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan dari Singapura, Shakir Hamzah akhirnya kembali ke negaranya apabila diumumkan sebagai pemain baharu Tanjong Pagar United (TPU) bagi menghadapi saingan Liga Premier Singapura (SPL) selepas tiga tahun beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Pemain yang berusia 28 tahun itu sebelum ini mencapai persetujuan untuk menamatkan kontrak dengan Perak FC pada musim 2021 ekoran masalah tunggakan gaji yang melanda pasukan tersebut selama beberapa bulan.

Shakir akan memakai jersi bernombor 26 dan beliau merupakan pemain kedua dari Liga Malaysia yang kembali menyertai kelab SPL selain Hariss Harun.

“Pemain pertahanan yang boleh beraksi di bahagian tengah dan kiri, kini akan memperkuatkan benteng Jaguars. Shakir mempunyai pengalaman luas dan juga dikenali sebagai seorang pemain yang pantas dan bekerja keras,” kata kelab itu dalam satu kenyataan di sini.

Bekas pemain Kedah ini merupakan produk Akademi Bola Sepak Singapura dan dia telah memulakan kerjaya professional bersama Young Lions pada tahun 2009 sebelum menyertai Lions XII pada tahun 2012.

Ketika bersama Lions XII, Shakir menjuarai Liga Super pada tahun 2013 dan pernah menyertai Tampines Rovers pada tahun 2016 dan Home United (kini Lion City Sailors) pada musim 2018.

Aksi cemerlangnya dalam saingan SPL telah memikat pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak untuk membawanya kembali ke Liga Super bagi memperkuatkan Helang Merah pada musim 2019.

Antara pencapaian terbaik Shakir bersama Kedah ialah menjuarai Piala FA buat kali kedua.

Mempunyai 53 kaps bersama skuad kebangsaan Singapura, pengalaman yang dimiliki oleh Shakir ditagih oleh Tanjong Pagar untuk membantu memperbaiki kedudukan kedua tercorot mereka dalam SPL. – MalaysiaGazette