KUALA LUMPUR – Malaysia mengulangi pendirian bahawa pelaku yang tidak berperikemanusiaan dalam insiden pesawat MH17 yang ditembak perlu diheret ke muka pengadilan.
Ia bukan hanya untuk menegakkan keadilan tetapi juga sekurang-kurangnya dapat memberi ketenangan kepada setiap ahli keluarga mangsa tragedi yang kehilangan insan tersayang, kata kenyataan Kementerian Pengangkutan sebagai memperingati MH17 hari ini.
“Malaysia yakin dan berharap pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini tidak menjadi penghalang kepada usaha menegakkan keadilan bagi membela mangsa-mangsa tragedi penerbangan MH17.
“Doa kita semua sentiasa mengiringi pemergian para mangsa dan mereka yang tersayang. Semoga ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa diberi kekuatan serta ketabahan sementara kami meneruskan usaha menuntut keadilan,” kata kenyataan yang sama.
Hari ini merupakan tahun ketujuh tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh dan disahkan terhempas di wilayah Donetsk, Timur Ukraine.
Tragedi tersebut telah mengorbankan sebanyak 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Dalam pada itu, Malaysia juga menuntut segala bukti yang ada didedahkan kepada umum dan proses kehakiman dijalankan secara adil serta tidak dipengaruhi oleh apa jua tekanan politik bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.- MalaysiaGazette