Home Seni Hidup Warga Kuantan dapat ikan percuma secara pandu lalu

Warga Kuantan dapat ikan percuma secara pandu lalu

Antara penerima ikan pelaling percuma seberat 2kilogram di Jalan Pasar Borong Baru, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kira-kira 1,000 warga bandar raya ini menerima ikan percuma secara pandu lalu di Jalan Pasar Borong Baru di sini hasil sumbangan Mo Wholesale Centre.

Pengarah Pegawai Operasi Mo Wholesale Centre, Mohd Rofzan Mohd Latiff berkata, edaran makanan percuma diberikan kepada golongan yang memerlukan tanpa perlu mereka mengisi sebarang dokumen.

Kakitangan MO Wholesale Centre menyerahkan ikan percuma kepada penerima secara pandu lalu

Menurutnya, penerima hanya perlu mendaftar aplikasi MySejahtera, menggunakan cecair pembasmi kuman dan kenderaan perlu mengikut giliran.

“Kita mengadakan fish bank sebagai tanda keprihatianan kepada masyarakat yang memerlukan pada musim pandemik ini. Ada yang hilang pekerjaan, ada hilang pendapatan, jadi kami buat untuk memberi sumbangan ikan sejuk beku sebagai tanda sokongan melihat banyak food bank di sekitar Kuantan.

“Alhamdulillah agihan dibuat mengikut pematuhan prosedur operasi standard dengan bantuan Jabatan Sukarela Malaysia dan petugas Majlis Bandaraya Kuantan.

“Setiap penerima dapat seplastik ikan pelaling sebanyak dua kilogram tanpa mengira lapisan masyarakat,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini

Tinjauan juga mendapati penerima mematuhi peraturan yang ditetapkan dan bersyukur mendapat ikan percuma yang dianggarkan RM15 sekilo itu.

ARTIKEL BERKAITAN :

Penduduk Tanjung Lumpur serbu ‘food bank’

Beg kosong terisi penuh barang keperluan ‘food bank’

Jelas Rofzan, pihaknya juga ada berhasrat memulakan bank makanan di premisnya pada Ogos ini  setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

“Mereka yang terputus bekalan makanan boleh mengambil barang keperluan dapur yang disediakan pada waktu yang ditetapkan.

“Selain, itu edaran fish bank juga akan diadakan di Kemaman (Terengganu) bagi membantu masyarakat yang terkesan,” katanya. – MalaysiaGazette