NAIROBI – Seramai 13 orang maut dan berpuluh-puluh lagi melecur teruk apabila sebuah lori tangki yang membawa minyak terbalik dan meletup di barat Kenya ketika orang ramai mula mengumpul minyak yang tumpah.
Lori tangki itu bertembung dengan sebuah kenderaan pada lewat malam Sabtu di sebuah lebuh raya berhampiran Malanga, kira-kira 315 kilometer barat laut Nairobi.
Orang ramai meluru ke tempat kejadian dengan membawa bekas sebelum lori tangki berkenaan meletup.
“Letupan berlaku ketika mereka sedang menyeduk minyak yang mengalir.
“Sebayak 12 mayat berada di tempat kejadian, seorang meninggal dunia di hospital kerana cedera,” kata ketua polis di daerah Siaya, Charles Chacha.
“Ramai yang melecur teruk telah dibawa ke hospital dan mereka termasuk kanak-kanak,” kata Chacha.
Punca kejadian masih belum dikenal pasti.
Rangkaian penyiaran media Kenya menunjukkan kebakaran lori tangki itu menerangi malam dan pada sebelah orang ramai mengelilingi rangka lori tangki tersebut.
Kemalangan maut membabitkan lori tangki di jalan raya biasa berlaku di Kenya dan wilayah timur Afrika.
Pada 2009, lebih 100 orang maut apabila cuba mengambil minyak yang tumpah dari sebuah lori tangki terbalik dan meletup di barat laut Nairobi
Malah sekurang-kurangnya 100 orang mati apabila sebuah lori tangki meletup di Tanzania pada 2019 manakala pada 2015 lebih 200 orang meninggal dunia dalam kejadian yang sama di selatan Sudan. – MalaysiaGazette