Home Nasional PGA tumpaskan sindiket seludup burung dilindungi

PGA tumpaskan sindiket seludup burung dilindungi

Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan penjualan hidupan liar dilindungi bernilai RM66,000 dengan tertangkapnya seorang individu tempatan yang disyaki memainkan peranan dalam kegiatan itu.Foto Ihsan PGA Cheras

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan penjualan hidupan liar dilindungi dengan tertangkapnya seorang individu dalam satu serbuan semalam.

Sindiket tersebut menjadikan sebuah rumah di Bandar Bukit Mahkota, Kajang Selangor. sebagai tempat penyimpanan dan penjualan hidupan liar yang diseludup itu.

Komander Briged Tengah, PGA Cheras Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas 41 ekor burung murai batu, seekor burung punai daun dan tujuh sangkar besi dan kayu jati.

Tambah beliau, sebuah telefon bimbit milik suspek yang disyaki digunakan dalam urusan jual beli hidupan liar itu turut dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM66,500.

“Pihak Polis menyeru masyarakat agar dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang berkaitan akta pemuliharaan hidupan liar ini,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. – MalaysiaGazette