Home Nasional Tiada pergerakan balik kampung menuju Pantai Timur, hari ini

Tiada pergerakan balik kampung menuju Pantai Timur, hari ini

BENTONG – Menjelang Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini, tiada pergerakan besar-besaran kenderaan dikesan sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala Pantai Timur, sejak jam 5 petang tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati aliran trafik melalui Tol Gombak menghala ke Tol Bentong, di sini, masih lancar.

Bagaimanapun kesesakan dikesan menuju ke Pantai Timur di Sekatan Jalan Raya (SJR) selepas Tol Bentong susulan kenderaan semakin bertambah mulai jam 6 petang tadi.

Kebanyakan kenderaan yang melalui SJR di Plaza Tol Bentong mendapat kebenaran merentas negeri daripada pihak polis dan tiada pengguna jalan raya yang diminta membuat pusingan U ke arah Kuala Lumpur.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette ke pekan Bentong petang tadi juga mendapati jalan bandaran yang menjadi laluan utama penduduk Pantai Timur didapati lenggang dan tiada kesesakan berlaku.

Lazimnya setiap kali musim perayaan, Jalan Tras akan dipenuhi kenderaan yang beratur panjang untuk pulang ke Kelantan dan Terengganu menjelang Hari Raya Aidiladha.

Namun keadaan itu jauh berbeza pada musim perayaan kali ini kerana negara masih dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan orang ramai tidak dibenarkan melakukan aktiviti rentas negeri dan daerah. – MalaysiaGazette