Home Akhbar Cina Vaksinasi “jumpa terus” untuk PATI belum dimuktamadkan

Vaksinasi “jumpa terus” untuk PATI belum dimuktamadkan

Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

PETALING JAYA – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dijangka mengadakan mesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa atau Rabu akan datang untuk memuktamadkan perihal vaksinasi secara jumpa terus (walk in) untuk pekerja asing tanpa izin (PATI) di Lembah Klang selepas 1 Ogos.

Seorang jurucakap dari kementerian itu memberitahu Sinchew Daily, keputusan muktamad mengenai perkara itu belum dibuat dan ia juga bergantung kepada hasil mesyuarat antara menteri dengan MKN.

Dalam satu sidang akhbar secara dalam talian pada Jumaat, Khairy dilaporkan memberitahu bahawa penduduk Lembah Klang yang tidak berada dalam data Jabatan Statistik dan gagal mendapat vaksin sebelum 1 Ogos akan dibenarkan untuk mengunjungi pusat vaksinasi secara terus selepas tarikh tersebut.

Jurucakap kementerian menjelaskan, golongan tersebut turut merangkumi pelabur asing dan kumpulan ekspatriat.

Khairy dilaporkan mahu usaha vaksinasi di Kuala Lumpur dan Selangor meliputi lebih banyak populasi selain meminta 11 peratus penduduk dua negeri dan wilayah itu yang belum mendaftar supaya segera berbuat demikian. – MalaysiaGazette