Home Utama Ceroboh hutan simpan: ADUN Selangor, 28 individu dilepaskan dengan jaminan polis

Ceroboh hutan simpan: ADUN Selangor, 28 individu dilepaskan dengan jaminan polis

Deretan kenderaan dipercayai yang digunakan 28 individu menceroboh hutan simpan Ulu Jelai, Lipis Pahang.

KUANTAN – Semua 29 individu termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Ulu Jelai di Lipis semalam, dilepaskan dengan jaminan polis awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata mereka dibebaskan kira-kira 3 pagi, selepas diambil keterangan.

“Bagi pihak polis, siasatan dilakukan kerana kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran manakala dakwaan memasuki hutan simpan tanpa kebenaran disiasat oleh Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP),” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Artikel berkaitan: ADUN Selangor antara 29 ditahan kerana disyaki ceroboh hutan simpan

Semalam, JPNP mengesahkan semua suspek yang beralamat di Kuala Lumpur dan Selangor itu ditahan pada 8 pagi di Kampung Rakoh, Pos Lenjang kerana didakwa memasuki hutan simpan berkenaan dengan menggunakan 11 kenderaan pacuan empat roda tanpa kebenaran pada Sabtu lepas.

Mereka termasuk tujuh wanita difahamkan masuk ke hutan itu atas alasan memberi bantuan makanan kepada Orang Asli, sedangkan pemeriksaan JPNP dan Pusat Kawalan Operasi Bencana mendapati tiada kelulusan dikeluarkan bagi tujuan tersebut.

— BERNAMA